Politik “RoboCop”

robocop

Jika orang Islam berpolitik secara Islam, maka sudah tentu dunia politik yang kerap disifatkan sebagai ” a dirty game” itu mampu dibersihkan. Bukankah Islam itu umpama air mutlak ? Sifatnya bersih dan membersihkan.

Islam akan “mengislahkan” seluruh aktiviti manusia termasuk politik. Justeru, jika matlamat, kaedah dan isi yang diperjuangkan oleh parti-parti yang majoritinya dianggotai oleh orang Islam kini benar-benar Islamik, sudah tentu natijahnya lebih indah, harmoni dan baik.

Anehnya, hal ini tidak berlaku. Wajah politik orang Islam menjadi semakin kotor dan busuk ! Politik sekarang adalah politik “RoboCop” – berpolitik tanpa hati dan perasaan. Soal iman dan akhlak seolah-olah dilupakan. Ironinya kita terasa malu dengan orang bukan Islam kerana cara mereka berpolitik ada kalanya kelihatan lebih bersih.

Persoalannya, bagaimana kita boleh mendapat pemimpin-pemimpin yang baik jika proses untuk mendapatkannya sudah kotor dan dicemari ? Realitinya, rakyat kini semakin bimbang dan bingung melihat sepak terajang ahli-ahli politik yang semakin meminggirkan nilai adab dan akhlak.

Pada hal politik dalam Islam adalah urusan yang sangat penting dan bersih. Urusan kepimpinan hakikatnya adalah amanah daripada Allah kepada setiap manusia.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : ‘Setiap kamu adalah pengembala (pemimpin) dan setiap penggembala akan ditanya tetang gembalaannya. (Muttafaq’alaih)

Sering diungkapkan, sikap adil seseorang pemimpin lebih utama daripada ibadah seorang abid. Malah pemimpin yang adil akan mendapat naungan Arasy di hari akhirat kelak.

Tegasnya, urusan kepimpinan menurut Islam adalah manhaj (jalan) untuk menegakkanubudiyyah kepada Allah swt melalui khidmat sesama manusia. Dari segi istilah, politik bermakna “the arts and science of government “. Atau “siasah” dalam bahasa Arab berasal daripada kata dasar yang bermakna “to lead, to guide, to conduct, to direct “.

Pemimpin mewarisi tugas Rasulullah saw untuk memimpin manusia dan menyelamatkan nasib mereka, bukan hanya di dunia bahkan di akhirat. Bukan sahaja untuk mendapat kesenangan fizikal dan material bahkan juga ketenangan dan kebahagiaan rohani.

Begitu bersihnya matlamat politik dan begitulah hendaknya, bersih jugalah kaedah kita berpolitik. Bagaimana berpolitik dengan cara yang bersih ?

Jawabnya, ia mesti ditunjangi oleh aqidah yang mantap, dipantau oleh syariat dan dihiasi dengan akhlak. Tanpa pemantapan elemen-elemen ini dalam diri ahli-ahli politik, urusan kepempinan pasti akan diseleweng. Lihat sahaja apa yang dipaparkan oleh media massa cetak atau elektronik. Ibu bapa yang benar-benar berjiwa Islamik sudah berasa tidak selamat, malu dan bimbang apabila berita dan cerita negatif mula dipaparkan untuk tatapan umum.

Politik bukanlah gelanggang perebutan kuasa, politik wang, pertelagahan, pembelotan, kata-mengata, cerca-mencerca dan fitnah-memfitnah. Malangnya wajah itulah yang semakin mendominasi dunia politik kini sehingga hampir-hampir diterima sebagai satu budaya. Walaupun dalam arus politik perdana, persaingan dan pertandingan tidak dapat dielak, tetapi persaingan dan pertandingan itu boleh dilaksanakan secara sihat dan bersih.

Apa yang penting adalah memberi penerangan dan penjelasan tentang matlamat atau apa yang hendak kita perjuangkan. Boleh mengkritik, menegur malah menyalahkan pihak lain tetapi hendaklah dalam batas-batas syariat dan akhlak islamiah. Baik sesama rakan separti atau dengan parti lawan, kita seharusnya menjaga diri agar tidak dirasuk sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, dendam, marah, tamak dan lain-lain.

Untuk mendapatkan kedudukan atau pangkat tidak salah, tetapi dapatkanlah dengan cara bekerja keras, bukan dengan cara mengampu, menyogok atau mengancam. Ingatla selalu kuasa itu amanah. Ia alat bukan matlamat. Setiap amanah akan dipersoalkan di akhirat nanti. Jadi, pikullah amanah itu dengan rasa takut kepada Allah dan gerun akan neraka.

Jika kita yakin adanya hari akhirat, pembalasan syurga dan neraka, maka kita akan mudah berkasih sayang. Iman itu sinonim dengan persaudaraan.

Dan insyaaAllah, apabila persaingan tamat, semua pihak seharusnya kembali bersatu kembali demi meneruskan demi meneruskan agenda membangunkan ummah sama ada dalam kerajaan atau pembangkang. Majoriti 2/3 dan minoriti 1/3 akan bertaut semula menjadi satu (3/3 = 1) demi kebaikan rakyat.

Titik perbezaan tetap ada, namun titik persamaan masih banyak dan masih boleh diperjuangkan bersama !

Wallahualam

Muhammad Jihad
Kolumnis Solusi 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s