Penyelewengan Jamaah ! (Siri 1)

tumblr_m7ro86LJBI1rav3clo1_1280

Dipetik “secara bulat-bulat ” daripada buku Syeikh Mustafa Masyhur : Jalan Dakwah, Antara Keaslian Dan Penyelewengan terbitan Dewan Pustaka Fajar ms 66-67

1) Terlalu Mengikut Cara-Cara Parti Politik

Penyelewengan ini beerti, unsur politik dapat menguasai kaedah ‘amal, di mana unsur tersebut telah menguasai pendidikan, sebaran dakwak dan jihad, mengutamakan kuantiti bukan nilai atau kualitinya, seperti kaedah parti-parti politik di mana tujuan mereka hanya untuk mendapatkan sebanyak mungkin bilangan suara dalam pilihanraya, atau ramai orang dalam tunjuk perasaan atau demonstrasi anjuran mereka dan seumpamanya.

Ini tidak syak lagi merupakan penyelewengan yang merbahaya kepada asas atau tapak bangunan yang akan didirikan. Bukanlah tujuan kita untuk mencari orang-orang yang hanya memberikan kita suara atau undi dalam pilihanraya tetapi tujuan asal kita ialah untuk mendapatkan orang yang sanggup memberikan diri dan hartanya pada jalan Allah.

Kita mahu orang-orang yang bersabar, berkorban, kukuh pendirian, sanggup memikul beban berdakwah dan beramal, menghargai tanggungjawab dan mempunyai sifat amanah. Kita cari peminat-peminat akhirat bukan peminat-peminat kuasa dan pangkat keduniaan seperti yang berlaku sekarang dalam parti-parti politik. Kita mahu orang-orang yang menunaikan amanah hukum Islam dengan sifat wara’ dan kezuhudannya, bukan mereka yang diubah-ubahkan oleh kerusi pilhanraya hingga mereka lupa apa yang mereka laungkan dulu dengan pelbagai slogan dan penuh semangat.

Kita tidak mahu orang-orang yang bekerja di bidang dakwah dikuasai oleh sifat gilakan pangkat untuk mendapatkan kuasa dan kejayaan dan kegiatan-kegiatan keterlaluan yang tidak dibolehkan. Yang kita mahu ialah mereka yang bekerja hanya untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini dan cara yang berkaitan dengannya, yang menjauhi jalan dan cara yang tidak dibolehkan.

Ini bukanlah beerti kita menolak politik dari perhitungan kita, tetapi biarlah kita tahu selok beloknya, keutamaannya. Kita beri harga dan nilai yang sewajar dengannya, tanpa bergiat cergas dengan tindakan keterlaluan terhadap orang lain. Kita berpolitik mengikut cara mukmin yang setia dengan agama di samping menghargai kehendak-kehendak hukum dan menyediakan pelajaran-pelajaran.

Wallahualam

Bersambung..

p/s : Maaf, gambar sedikit tidak “asolah”

Advertisements

Mesir : Masa depan & Perjuangan (II)

Egyptian_Evening_1600x1200

SEPINTAS LALU : DAHULU HINGGA KINI

Saya pernah mendengar seorang teman saya bercerita tentang kata-kata pensyarahnya di kuliah.

Kata pensyarah tersebut : “Semoga Allah memanjangkan usia Hosni Mubarak!”
Lalu seorang pelajar bangun bertanya : “Mengapa doktor mendoakan panjang umur baginya sedangkan sudah banyak kezaliman yang dia lakukan?”
Lalu pensyarah tersebut menjawab : “Supaya lebih banyak dosa yang dia lakukan dan lebih berat hukuman yang akan diterima!”

Tentulah, kasar bunyinya doa ini. Mendoakan supaya diberi hidayah di saat hujung usia nampak lebih sesuai dengan adab Islam.

Tetapi doa si pensyarah bukan lahir dari hati yang hasad dan dengki. Apa yang dinyatakan ialah penyataan perasaan seorang rakyat yang duduk di bawah naungan pemerintahan Hosni Mubarak, Presiden Republik Arab Mesir yang paling lama memegang tampuk kekuasaan.

Egyptian President Hosni Mubarak (R) sha

Rentetan daripada pembunuhan Anwar Sadat pada tahun 1981 oleh sekumpulan pemuda radikal (kerana berdamai dengan Israel), Hosni Mubarak, mantan Ketua Turus Angkatan Tentera Udara Mesir mengambil alih kuasa pemerintahan. Selaku Presiden Republik Arab Mesir yang keempat (selepas Naguib, Nasser dan Sadat), Mubarak memulakan tempoh pemerintahannya dengan menguatkuasakan undang-undang darurat (Qanun At-Tawari’) yang membolehkan sesiapa sahaja ditahan, dipenjara, dan dibawa ke mahkamah tentera, dari kalangan rakyat biasa dengan perintah dari Presiden dan institusi keselamatan dalam negeri (Amn Ad-Daulah).

Undang-undang ini yang juga menyekat kebebasan bersuara dan berkumpul, masih berkuatkuasa sehingga ke hari ini, tanpa sebarang sebab yang logik dan boleh diterima.

trafficjam_cairo_egypt

Hampir 3 dekad Mubarak dan Parti Demokratik Nasional mentadbir Mesir, sesiapa sahaja hari ini akan mengakui satu hakikat bahawa pentadbiran mereka ialah pentadbiran yang gagal. Mesir hari ini jika dibandingkan dengan 40 tahun dahulu ternyata jauh lebih mundur. Dr Larbi Sadiki, penganalisis politik Timur Tengah, malah menyifatkan negara Mesir hari ini umpama ‘tubuh yang hanya tinggal rangka’. Mayat hidup.

Pengalaman saya sendiri hidup di tengah-tengah masyarakat Mesir sememangnya mendapati bahawa rakyat Mesir tidak dididik untuk semakin produktif dan maju. Kerajaan nampaknya lebih selesa jika rakyatnya, khususnya golongan pemuda, menjadi dungu dan ‘mandul’. Usaha-usaha peningkatan potensi rakyat, jika pun wujud, hanya bersifat kosmetik dan propaganda serta tertumpu pada golongan atasan sahaja.

Mengambil contoh yang paling mudah; Dr Amr Khaled, seorang penceramah dan pendakwah bebas, yang amat diraikan di negara lain, dihalang dari memberi syarahan dan ceramah di Mesir, sedangkan isi-isi syarahannya nyata telah berjaya menjadikan pemuda dan pemudi Mesir lebih baik jatidiri mereka dan lebih produktif. Bukankah orang seperti ini sepatutnya dikira sebagai aset berharga bagi sebuah kerajaan yang ingin memajukan negara?

GamalMubarak

Desas-desus bahawa Hosni Mubarak bakal mewariskan legasinya kepada anaknya sendiri, Gamal Mubarak, sudah bukan lagi khabar angin. Di mana-mana sahaja kain rentang Parti Demokratik Nasional tergantung, dua wajah anak-beranak Mubarak ini pasti terpampang. Sekali pun berlaku kemungkinan Hosni Mubarak bakal meneruskan lagi tempohnya sebagai Presiden, banyak analisis menyatakan Gamal bakal menjadi watak utama dalam pemerintahan Parti Demokratik Nasional selepas ini.

Berbeza dengan ayahandanya, Gamal Mubarak bukanlah seorang veteran perang. Beliau malah tidak pernah sama sekali menyertai mana-mana peperangan bersenjata mempertahankan Mesir dari musuh. Dengan latar belakang pengajian pentadbiran perniagaan dan pengalaman bergelumang dengan duit, aset, dan harta sebagai seorang pegawai bank, tentu sekali kecenderungan dan pemikiran Gamal jauh berbeza dengan ayahnya.

Sebagai sebuah negara dengan rekod tentera dan peperangan yang agak membanggakan, kehadiran seorang pemimpin elitis ekonomi seperti Gamal Mubarak bukanlah satu petanda yang baik. Sudah boleh dijangkakan, jurang antara miskin dan kaya yang sedia ada pada hari ini, bakal menjadi lebih dahsyat dan teruk. Campur tangan ekonomi oleh kuasa-kuasa ekonomi asing bakal meningkat, dan sistem kapitalis sedia ada, bakal mempunyai pengaruh yang kuat dan lebih mencengkam.

Rakyat miskin akan menjadi lebih melarat hingga tidak terbayang dek akal, dan golongan atasan yang kaya akan menjadi lebih kaya-raya, juga hingga tidak terbayang dek akal. Kesan dari ini, segala sudut lain kehidupan rakyat Mesir akan melihat graf jatuh menjunam.

* * * * * *

Inilah apa yang bakal dihadapi oleh Mesir dan rakyatnya pada pilihanraya parlimen dan Presiden kali ini. Sejarah pemerintahan dengan rekod terburuk, dan seorang Presiden yang mungkin memburukkan lagi rekod tersebut.

Tidak mustahil satu hari nanti, jika tiada perubahan, Mesir juga mungkin mengalami apa yang dialami oleh negara-negara miskin dan terjajah ekonomi dan politiknya seperti Sudan, Iraq, dan Pakistan.

Bersambung

Baca juga,

Mesir : Masa depan & Perjuangan Pendahuluan

Syed Ahmad Isra’
Universiti Al Azhar Mesir

Hiwar – Bahagian 1

tumblr_lwckdw7rIw1qkgl4po1_500

Ligat jari Marbo menaip. Jarinya tidak kekok menekan puluhan butang dan punat di papan kekunci  Al-Hamra. Al-Hamra, sahabatnya  yang benar-benar sejati. Pada waktu sukar dan menghimpit, Al-Hamra banyak benar membantu, lebih-lebih lagi pada musim kertas kerja mahupun tugasan maya. Jarang meragam. Senang diuruskan.  Ah,  Marbo memang benar-benar terhutang budi pada Al-Hamra!

Marbo tidak menghiraukan orang ramai yang lalu lalang di tepi Kedai Mamak ABC.  Matahari yang memancar cahaya terik dan membahang juga dia tidak endah. Matanya asyik pada skrin Al-Hamra.  Sekali sekala dia meraup juga mukanya, mengelap peluh-peluh yang meleleh di muka. Selepas itu dia kembali menatap skrin . Terdengar juga keluh kecil dari bibirnya, mungkin kerana berasa rimas dengan peluh-peluh yang melekit.  Melengas. Walau seingin mana dia untuk tidak menghiraukan bahang cuaca,  dia terpaksa menerima hakikat bahawa dia di Malaysia; sebuah negara khatulistiwa yang telah pesat membangun selepas 50 tahun  merdeka.

Jari Marbo terus ligat menaip.

Tap tap tap tap tap.

Tap tap tap tap tap tap tap.

Tap tap tap tap tap

Tap-

Marbo menggaru kepala. Dia tersalah taip. Lantas, butang Backspace ditekan berulang kali.
TIba-tiba kerusi di hadapannya ditarik keluar. Lancar dan perlahan. Tanpa bunyi seretan melampau.

“ Saya tumpang duduk di sini boleh?”, suara garau kedengaran.

Marbo masih lagi terpaku di hadapan Al-Humaira. Batang tubuhnya tidak digerak walau seinci. Perlahan-lahan, matanya dijengah melihat gerangan siapa pemilik suara itu.
Seorang lelaki dalam fasa umur 30-an tercegat di hadapan mejanya. Bajunya kemas. Tiada kesan kotor. Siap tuck in lagi, bisik hati Marbo. Rambutnya tersisir rapi. Ada sejempul janggut kecil di dagunya.
Mata Marbo terus meliar ke atas dan ke bawah memerhati sisi-sisi lelaki tersebut. Dia sebenarnya merasakan sesuatu dari pemuda itu. Dia bukanlah seorang gay. Simpang Malaikat 44 kalau itu berlaku! Bahkan, dia sering digelar sweet talker oleh rakan kolej. Semua gara-gara kehebatannya meleburkan benteng tebal hati wanita hanya dengan menggunakan kata-kata. Ya, dialah Marbo ! Jantan sejati! Semua orang tahu kehebatannya.

Tapi entah mengapa, riak wajah dan air muka lelaki tersebut seolah terpancar suatu keyakinan yang tiada malap. Tiada ragu.

Dia terpukau. Dia tertawan.
Dia tertarik dengan pesona lelaki itu!

“ Em..Encik, saya duduk sini boleh ke?”

Sekali lagi lelaki puluhan tahun itu bertanya kepadanya. Kilas angan Marbo serta merta terhenti.
“Boleh. Tak de siapa pun duduk di situ. Sila lah”

“ Terima kasih”

Seorang pelayan restoran datang menghampiri lelaki tersebut, bertanya sama ada dia ingin memesan sebarang makanan atau minuman.

“Teh O kosong. Makan.. takpe kot. Terima kasih.”

“ Encik pulak?”

“Takpe. Terima kasih”

Lalu, pelayan tersebut beredar pergi.

……

…..

…..

Sepi antara mereka. Tiada perbualan. Walaupun Marbo sangat berminat untuk lebih mengenali lelaki tersebut, tapi dia tidak boleh mengendahkan kerja yang semakin bertimbun.  Biologi, Farmakologi, Fisiologi. Lebih-lebih lagi dia kini di tahun akhir jurusan Bioteknologi, Universiti Monash. Dia tidak boleh membuang masa dengan apa yang dia lihat sebagai remeh atau tidak perlu.

Tap tap tap.

Tap tap tap tap tap tap

Tap tap tap tap tap ta-

“Encik ni, pelajar ke?”

Sebuah soalan terpacul keluar, melerai suasana yang sepi sebentar tadi.

Marbo mengangguk. “Ya”

“ Kau pula?” Giliran Marbo bertanya.

“Em. Pelajar juga. Tahun pertama di UIA”

Eh benarkah? Seorang pelajar pada usia sebegitu? Menarik.

“ Jurusan apa yang kau ambik? “

“ Bahasa Arab.  Encik pula?”

“Bioteknologi. Tahun akhir kat Monash”, senyum  Marbo.

Pada tona suaranya sebentar tadi, dia menekan ruap rasa bangga pada nama universitinya.  Siapa yang tidak kenal pada Monash? Tempat yang tersohor dan terkemuka dalam kalangan lapisan masyarakat elit dan berada.

“ Wah, hebat! Kagum saya pada encik. Nama saya Nukmin ”  Nukmin menghulur tangan mesra.

“ Marbo. Marbo Ijlis Bina ”, jawab Marbo sambil dia menyambut tangan yang dihulur Nukmin. Mereka berjabat.

Seorang pelayan terkocoh-kocoh membawa air yang dipesan Nukmin. Dalam pada itu, tanggan kirinya memegang erat sepinggan Nasi Goreng milik pelanggan lain. Waktu tengah hari memang sentiasa sibuk bagi Restoran Mamak ABC. Penjawat am mahupun swasta berkumpul di situ untuk menikmati makan tengah hari mereka. Tepat 2.30 nanti, mereka akan kembali semula ke pejabat mereka tidak jauh dari restoran tersebut .

Nukmin menghirup air Teh O yang baru saja sampai tadi. Manis yang sederhana. Aroma teh harum Lipton kegemarannya. Alhamdulillah, sedap air ini. Nukman memuji.

Pandangannya terus dialih ke Marbo. Selepas berjabat tangan, Marbo terus menghadap skrin komputer.Tiada soalan susulan mahupun sebarang respons keluar dari bibirnya. Momentum perbualan tadi telah hilang . Anti-klimatik.

Tiba-tiba, Nukmin tersenyum. Sesuatu terlintas di mindanya.  Mindanya telah terjana dek nama Marbo itu sendiri. Dia bukanlah mentertawakan nama tersebut, tetapi dia tertawa kerana dia baru sedar betapa berertinya nama itu. Ya. Marbo Ijlis Bina.

“ Nama kau sangat menarik Marbo”

Jari Marbo yang ligat menaip terhenti.  Matanya diseret keluar dari tetingkap skrin komputer lantas menatap wajah Nukmin yang tersenyum.

“ Maksud kau?”

BERSAMBUNG…

Fahmi Maslan
Perubatan, Cork University

Pintu Taubat Dan “Marijuana” Dunia

addiction

Masih terbukakah pintu taubat?

Kesugulan adalah satu titik dalam kehidupan yang mahu dielakkan. Mengapa mahu memilih kemurungan sedangkan kegembiraan itu ada? Mengapa perlu kepada yang hitam sedangkan putih itu wujud? Untuk apa bersedih-sedih padahal kegembiraan itu lebih berharga?

Dan dalam masa yang sama, manusia itu gemar memilih jalan singkat. Jika dibentangkan 2 jalan untuk ke destinasi yang sama, satu sifatnya ringkas dan pendek serta yang lain itu rumit, panjang, malahan kompleks, maka mana satu akan jadi pilihan? Memang lumrah, tidak ramai yang sanggup untuk bersusah dahulu dan bersenang kemudian.

Lalu, apa kaitannya kesugulan itu dengan jalan singkat ini?

Marijuana dan amfetamin.

Kesanggupan untuk hidup dalam kepalsuan dunia menjadi pilihan asalkan kesugulan itu dapat dielakkan. Memang ada yang sentiasa memilih untuk hidup dengan halusinasi dan jauh daripada realiti. Dan keadaan yang lebih menyayat hati, apabila diri tidak sedar sedang dihalusinasikan. Dicandukan dengan gula-gula dunia. Enak, gembira, dan berlelucon sentiasa.

Seperti anjing bertemu pasir.

Dunia yang serba palsu itu tadi, dengan mudahnya membuatkan kita lupa. Juga alpa. Walaupun usia ini sebenarnya tidak tua mana. Pemuda itu akan lupa dan alpa, akhirnya dia mahu ke mana? Apabila habis marijuana dan amfetamin itu, apa seterusnya? Sesudah hilang enaknya gula-gula dunia, mahu buat apa?

Selepas halusinasi itu apa?

Hidup dalam halusinasi palsu memang tiada akhirnya. Dunia bukan tempat untuk mendapatkan puncak kenikmatan. Itu limbo.

Boleh jadi, kita ini tidak pernah jumpa marijuana mahupun amfetamin itu. Sentuh apatah lagi. Lantas dengan senyum bangga menyatakan diri tidak pernah dalam kerugian. Merasa selamat dan selesa dengan keadaan yang sedia ada.

Jangan terus memperbodohkan diri sendiri.

Bagus juga jika kita mampu buat statistik atau catatan, akan apa yang telah dilakukan sebenarnya. Cuba kita bandingkan sendiri, antara jumlah game yang kita main, duit yang dibazirkan, masa yang kita buang, kemalasan yang kita jadikan kawan, dengan Quran yang dibaca, solat yang dilaksana, dan potensi diri yang dibiar sia-sia. Perbandingan ini mampu membantu menentukan adakah kita sedang hidup dalam halusinasi dunia.

Lalu, adakah aku tercela?

Rahmat Allah tidak pernah putus untuk hamba-hambanya. Sentiasa Dia itu memerhati dan akan dengan senang gembira mendengar rintihan dan memperkenankan doa kudus kita. Pintu taubat belum ditutup lagi.

Merasa selesa dengan keadaan ini, juga satu masalah. Menyangka hidayah Allah itu ada, namun belum pernah cuba mendapatkannya. Jangan jadi manusia yang lupakan arRahman.

والذين جهدوا فينا لنهدينهم سبلنا و أن الله لمع المحسنين

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. (al Ankabut : 69)

Tidak pernah Allah mengharapkan yang bukan-bukan. Hanya Dia mahukan, benar-benar kita ini menjadi pemuda beriman. Persetankan kedudukan dunia, ketepikan jumlah harta, kerana kelak yang akan dilihat adalah hati-hati kita.

Ubah orientasi hidup.

Ini satu tuntutan. Jangan pernah malu untuk bertaubat. Usah segan untuk berubah. Jangan malu-malu untuk ikut usrah. Mulakan dengan meninggalkan perkara keburukan. Bunuh kemahuan untuk membazir masa. Kemudian, mula berjinak-jinak dengan al Quran, solat, dan aktiviti-aktiviti yang benar-benar mampu membina kita. Pasak dalam-dalam tujuan hidup, supaya hidup sungguh-sungguh terpandu.

Benar, pintu taubat masih terbuka. Cuma yang tinggal adakah kita benar-benar mahu meninggalkan marijuana dunia untuk memasukinya.

Mohamad Ad
Universiti Al Azhar, Mesir

Memahami Perubahan

Alhamdulillah.

Di samping liku-liku yang menemani sepanjang perjalanan tahun dua pengajian di Universiti Yarmouk, banyak tak terkira nikmat yang ArRahman hadiahkan.
Diizinkan melangkah ke gerbang perkahwinan, mendapat mumtaz di kuliah, sehinggalah baru-baru ini, mendapat hadiah dari seseorang yang sponsor saya ke Mesir untuk sertai conference bertemakan ‘Taghyir’ (Perubahan) yang disampaikan oleh ulama’ dan pemikir Islam yang masyhur.

Saya patut rasakan nikmat yang dikurniakan adalah untuk membantu ummah yang kian menjadi-jadi diseksa dibunuh di Syria, Myanmar, Palestine, dan lain lagi. Turut terseksa ummah di tanah air sendiri yang saban hari diserang bertubi-tubi dengan serangan moden yang sangat halus tanpa disedari berupa hedonism, liberalism, pluralism, yang akhirnya bisa membawa manusia bertuhankan manusia itu sendiri.

IMG_0127

* * *

Kali ini, teringin pula berceloteh pasal taghyir (perubahan). Lagi-lagi bila baru balik dari Mesir yang baru melalui satu perubahan dan juga baru habis 5 hari conference tentang ‘Taghyir’.

Sehari sebelum ke Mesir, sempat meminta nasihat dari seorang Ulama’ Tafsir Jordan, As-Syeikh Dr Solah Al-Khalidi tentang taghyir. Juga sempat bincang tentang thaurah (merujuk kepada Arab Spring). Beliau dengan tenangnya menjawab thaurah merupakan salah satu daripada wasilah dakwah. Beliau juga menjelaskan bahawa gerakan islam di mesir yang menyokong thaurah itu pun tetap menguatkan pembinaan peribadi dan ummah. Langsung tak terpisah daripada perkara ini. Berulang kali beliau mengatakan pembentukan peribadi itu tidak terpisah, dalam apa jua keadaan dan marhalah.

IMG_0242

+ + +

Di Conference, terasa sangat kerdil dan jahil bila dapati bahawa saya satu-satunya peserta Melayu, di tambah lagi dengan penyampai² yang cukup hebat seperti Syeikh Rasyid Ghanoushi, Syeikh Dr Abdul Karim Bakar, Syeikh Dr Salman ‘Oudah, dan banyak lagi termasuk pemimpin gerakan islam dari Turkey (wakil AKP) , Arab Saudi, Algeria, Moritania dan banyak lagi. Memang terasa diri ini sangat jahil yang tak sabar nak menggarap segala mutiara yang ada.Tak reti untuk celoteh panjang², mungkin cukup bagi saya simpulkan kefahaman saya dari conference selama 5 hari ini dalam bentuk point-point penting :

1) Perubahan yang kita nak gapai adalah mengubah alam ini sehinggalah Islam menjadi ‘Ustaz’ bagi alam ini. Kita sibuk-sibuk berdoa nak Redha Ilahi, tetapi sedikitpun tidak berjuang ke arah ini, kena sedarlah diri.

Syeikh Ghanoushi menegaskan kalimah ‘بأنفسهم’ dalam firman Allah yang bermaksud “Allah tidak mengubah sesuatu kaum sehinggalah…..”(surah Ar-Ra’d : 11)  bermaksud 3 perkara iaitu :- merubah diri manusia itu sendiri, keadaan sekeliling dan juga realiti di bumi sekarang ini. Ia tidak terhad pada salah satu.

IMG_0201

Sembang-sembang bersama Syeikh Rasyid Ghanoushi tatkala lunch selepas penyampaiannya

2) Syeikh Abdul Karim Bakar menjelaskan perubahan yang hakiki adalah yang berlaku bukan dengan tekanan. Taghyir tak sama dengan Taghayyur yang bersifat ‘حتم’ (tekanan/paksa). Taghyir yang dimaksudkan adalah ‘مع الارادة’ (dengan kemahuan). Ia mestilah berlaku mengikut sunnah perubahan alam itu sendiri. Maknanya tak lain tak bukan perlu fokus mendidik manusia secara berperingkat, di samping mengambil peluang yang ada dalam memudahkan proses perubahan tersebut.

3) Kini, mungkin ramai yang menyedari desakan Perubahan. Malangnya ramai juga yang tersilap memahami kaedah perubahan itu sendiri. Lebih malang lagi bila seseorang itu terlebih dahulu mencedok idea barat tanpa dipandu oleh Syara’ yang hakikatnya sudah pun menjelaskan.

4) Ada juga yang selalu mengatakan seseorang itu terlalu simplistik, literalis, tak memahami situasi setempat. Namun tanpa disedari dia juga telah terjebak dengan kes ini. Salah satu contoh apabila dia melihat perubahan dan strategi yang dilaksanakan di negara seperti Tunisia, Mesir dan Turkey yang gerakan islamnya telah mendapat tempat di tampuk pemerintahan. Tanpa disedari dia dengan semudahnya meng’qias’kan dengan Malaysia dan mengusahakan perubahan di Malaysia mengikut acuan Turkey ataupun Tunisia atau lain-lain lagi. Timbul lah laungan seperti islamic secularism oleh pembawa perubahan di Malaysia yang seolah-olah sesuka hati meng-qiyas negara-negara hebat tadi dengan Malaysia.

5) Sepanjang conference dari hari pertama lagi, banyak kali menyebut perihal Malaysia. Malah seorang speaker dari Turkey menegaskan kepada saya secara direct bahawa Turkey bukan contoh kepada Malaysia. Satu isu yang ditegaskan (sampai beliau meninggikan suara) kepada saya adalah isu secularism dalam pemerintahan. Benda ini ramai orang salah faham dan mahu mencontohinya.

Hakikatnya AKP di Turkey sebenarnya terpaksa bermuamalah dengan secularism buat masa ini. Ia bukan matlamat. Malaysia, negara yang tidak pekat pun sekularismnya, bahkan mempunyai perlembagaan yang menjaga hak umat islam, buat apa nak berpatah balik menuju ke belakang mencontohi Turkey meraikan secularism? Kita maklum Turkey sangat pekat secularismnya, hatta sepanjang AKP yang terpaksa bermuamalah dengannya, terdapat 6 kali cubaan coup d’etat . Beliau juga menegaskan perubahan sedikit demi sedikit ke arah lebih baik sedang mereka usahakan. *Berita baik untuk tahun ini, secara rasminya, pembelajaran bahasa arab dapat dimasukkan dalam sistem pendidikan setelah bertahun-tahun disekat.

Sembang-sembang bersama salah seorang speaker dari Turkey (daripada 3 wakil dari Turkey). Beliau dengan penuh yakin dan berkarisma menerangkan tentang ekonomi Turkey. Umurnya baru 21 tahun. Merupakan pemimpin sebuah pertubuhan belia di Turkey.

Sembang-sembang bersama salah seorang speaker dari Turkey (daripada 3 wakil dari Turkey). Beliau dengan penuh yakin dan berkarisma menerangkan tentang ekonomi Turkey. Umurnya baru 21 tahun. Merupakan pemimpin sebuah pertubuhan belia di Turkey.

6) Kita bukan hanya ingin menegakkan human right, good governance, kebebasan bersuara atau lain-lain istilah manis semata-mata. Bukanlah itu menjadi matlamat sebenar, bukanlah juga sebagai ‘Tuhan’ yang apa-apa hal dipersetujui oleh semua orang tak kira agama atas nama hak asasi manusia semata. Malangnya bila syariah hendak dimplementasi, ditolak ketepi.
Di mana ruang syara’ bila manusia bertuhankan humanism? Matlamat kita perlu jelas, seperti mana dalam point no.1.

7) Sempat juga berborak dengan seorang speaker, Dr Taufiq Muhammad (asal Algeria, menetap lebih kurang 15 tahun di Malaysia). Beliau menyatakan ketidaksetujuan terhadap BERSIH kerana tidak sesuai dengan rakyat Malaysia. Namun baginya Gerakan Islam yang menyokong BERSIH, adalah ijtihad masing². (*Saya tak mahu hurai panjang pasal BERSIH. Anda  lagi arif). Beliau juga memberi nasihat supaya tidak mudah mengecop orang (Liberalis, literalis, simplistik dan lain-lain).

8) Sepanjang conference juga, banyak kali saya dengar soalan-soalan berkaitan ‘arab spring’, ‘revolusi’, ‘perubahan dengan kekuatan’, apa syarat-syaratnya, apa disiplinnya, dan soalan lain yang sewaktu dengannya. Kesimpulan dari jawapan speaker² mengembalikan pandangan kita kepada  konsep asas perubahan.
Perubahan yang kita fahami  bukanlah datang secara drastik dengan cara revolusi kekerasan, tekanan atau sewaktu dengannya.
Ya, mungkin kita boleh buat perkara tersebut seperti demonstrasi atau revolusi. Namun kita perlu ingat, pembinaan dari bawah wajiblah dengan skala yang besar, barulah ‘perubahan dari atas’ boleh dibuat namun masih perlu terpandu mengikut disiplin² tertentu.

9) Sempat saya bertanya speaker wakil Turkey yang menceritakan tentang sumbangan Fethullah Gulen dalam projek taghyir : “adakah revolusi di Mesir berjaya dalam mentaghyir & islah Mesir?” dan dijawab ringkas : “Sekarang kita tidak boleh nilai. Mungkin 5-10 tahun lagi baru kita dapat lihat” (jawapan lebih kurang).”

10) Bagaimana pemerintah itu ingin mengimplementasi syara’ dalam sesebuah negara kalau rakyat sendiri tidak mahukan syara’. Ketuanan syara’ dan kemahuan rakyat tidak dapat dipertemukan melainkan rakyat sendiri  terbimbing sepenuhnya dan inginkan syara’.

11) Kita juga perlu bezakan marhalah dan wasilah. AKP memerintah Turkey, An-Nahdhah menerajui Tunisia, Dr. Mursi menjadi Presiden Republik Mesir, bukanlah menandakan mereka kini telah capai pada peringkat Daulah Islamiyyah. Masih jauh lagi perjalanan menuju kemenangan Islam yang hakiki dalam sesebuah negara. Tidak relevan untuk menyatakan mereka telah mencapai daulah islamiyyah sedangkan masyarakat umum masih belum bersedia menerima sistem Islam sepenuhnya.

12) Akhirnya, kita perlu fahami bahawa methodologi perubahan yang diasaskan oleh Rasulullah saw itulah yang tepat, terbukti berjaya dan memberi kejayaan besar buat Islam. Ia bermula dengan fokus pembentukan pemuda-pemuda sebagai asas yang kuat bagi sesebuah keluarga dan masyarakat seterusnya negara. Adakah kita di Malaysia sudah melepasi marhalah ini? Ini satu persoalan yang patut perhatikan betul-betul supaya tidak silap pertimbangan dan langkah. Dan kalaulah pun dianggap sudah melepasi, adakah bermakna fokus pembentukan, pendidikan individu boleh ditinggalkan?

Bukanlah maksud saya penafian terhadap usaha-usaha membanteras korupsi dalam kerajaan, memperjuangkan negara yang adil dan sebagainya.

Maksud saya di sini adalah fokus dengan skala yang besar itu adalah pada pembentukan peribadi, jatidiri masyarakat, membimbing mereka memahami Aqidah & Syariah & Akhlaq Islam. Tak lupa juga, wajib bersih dari segala taktik-taktik kotor yang saling jatuh menjatuhkan golongan Islam 

Wallah A’lam.
Segala kesilapan, dari diri saya sendiri. Akan terus dipelajari dan diperbaiki.

Ahmad Khairuddin
Yarmouk University

Kami Pemuda !

Untitled

Berkata Rib’i bin Amir kepada tentera Parsi:

“Allah yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendakiNya dari pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada Allah, dari kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat.”

Ini kata-kata seorang pemuda yang tegas dan berani dalam menyampaikan apa yang diyakininya walaupun berhadapan dengan pimpinan tentera sebuah kerajaan yang kuat pada ketika itu. Ini kata-kata pemuda yang yakin akan manhaj dan juga jalan yang ditempuhinya walaupun dihadapannya terbentang sebuah jalan yang dipenuhi onak duri dan juga simpang tarikan duniawi. Ini kata-kata pemuda yang dihatinya dipenuhi cinta dan kasih yang tiada taranya kepada Allah serta RasulNya.

Likulli Marhalatin Ahdafuha

Disetiap marhalah itu ada tujuan dan matlamatnya. Apa yang menjadikan matlamat itu suatu realiti adalah rijal didalamnya. Likulli marhalatin rijaluha. Disetiap marhalah itu ada rijalnya. Rijal yang mampu berdiri teguh seperti mana Abu Dzar al Ghifari yang lantang melaungkan syahadahnya, bahkan sehebat mus’ab bin umair, pemuda yang meninggalkan segala bentuk kemewahan sehingga syahidnya tidak meninggalkan apa-apa bahkan kain yang mahu menutup tubuhnya juga singkat.

Pemuda yang kuat tubuh badannya, tinggi semangatnya, cerdas fikirannya, bahkan bernas ideanya. Ini ciri-ciri oemuda yang mampu mengubah dunia, mampu untuk mengepung dunia dengan kebaikan dan menyebarkan nur Islam keseluruh dunia. Pemuda yang meyakini firman Allah yang bermaksud:

Dan katakanlah, ‘Bekerjalah kalian maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan menilai pekerjaan kalian itu, dan kalian akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kalian apa yang telah kalian kerjakan.’ (at-Taubah: 105)

Kami Pemuda

Kami pemuda harapan umat. Moga ini yang disemat dalam diri setiap peserta. Mudah-mudahan agama ini menjadi tinggi ditangan kita semua kerana tugas untuk mengembalikan agama ini ketempat yang tertinggi terletak di bahu pemuda.

Sejarah kebangkitan berbagai bangsa tidak lepas adanya manhaj yang telah diletakkan oleh agen kebangkitan. Mereka bekerja sepanjang kekuatannya masih ada dan selama hayat masih dikandung badan. Jika cita-cita itu belum dapat diraih sementara masa hidupnya di sunia yang pendek ini telah berakhir, tampillah generasi penerusnya untk meneruskan bekerja sesuai dengan manhaj yang telah diletakkan. Mereka memulai dari titik di mana generasi pendahulu berhenti; mereka tidak memutus pencapaian yang telah diraih, tidak menghancurkan komponen-komponen yang telah dibangun, tidak mendongkel fondasi yang telah diletakkan, dan tidak pula memporak-porandakan apa-apa yang telah terkait.

Kalau mereka tidak menambahkan pada tinggalan para pendahulu dengan yang lebih baik, paling tidak mereka bertahan dnegan produk yang telah ada dengan menjaganya sekuat tenaga. Kalau mereka tidak mengikuti jejak pendahulu dengan menambah tingkat bangunan lalu melangkah bersama masyarakat menuju ke tujuan yang diinginkan, paling tidak mereka sadar dan mengundurkan diri untuk kemudian menyerahkan tongkat estafet perjuangan kepada yang lain. Begitulah seterusnya, sampai cita-cita dan impian dapat terwujud. Dengan begitu, sempurnalah kebangkitan, berbuahlah perjuangan panjang, dan samapialah masyarakat ke tujuan yang telah dicanangkan. [diambil dari Majmua’atil Rasail 2, Bab ‘Apakah kita para aktivis?’]

Bukan mudah menjadi pemuda yang membesar dalam suasana ibadah kepada Allah, seterusnya dinaungi lindungan-Nya, pada hari tiada lindungan selain lindungan-Nya. Kerana pemuda senang tergerak ke arah hiburan, untuk terlibat dalam hal ibadah / program tarbiyyah sahaja perlu berfikir berkali-kali, berbanding apabila diajak untuk berseronok bergembira.

10 Jun 2012

Mohd Zol Helmi Md Zuki
University of Manchester, UK

Malala Yousafzai

A-fDADkCIAAWkup

” Paradise Lost “ itulah nama baru bagi “Swat Valley” yang terletak di daerah Khyber Pakhtunkhwa, . Oleh kerana keindahan alam yang begitu mempersonakan, pelancong asing juga mengelarkannya sebagai “the Switzerland of the region.”

Bentuk buminya yang unik, bergunung ganang, serta terletak bersempadan dengan Afghanistan, menjadikan lembah yang indah itu menyimpan seribu satu kisah. Kisah “cinta” 4 segi di antara penduduk lembah Swat yang ditindas, rejim Taliban yang tidak berprikemanusiaan, kerajaan yang sekular serta, Amerika Syarikat yang senantiasa mengambil kesempatan diatas kesusahan yang menimpa penduduk Swat !

Jika melihat dokumentari yang terpapar di laman youtube, penduduk Swat yang majoritinya “Sunni Muslim” saban hari hidup dalam ketakutan. Mayat bergelimpangan sana sini tanpa kepala hasil daripada pemahamam extremis serta penafsiran sempit rejim Taliban terhadap Islam. Perbuatan yang dilakukan mereka atas tiket “mujahidin” dan “jihad” sudah cukup untuk membawa fintah kepada umat Islam seluruhnya. Habis “mujahidin” asli di Suria dan Palestin dicop sebagai pengganas. Mereka harus bertanggungjawab !

Permata baru pendidikan

Dalam suasana politik yang tidak menentu di lembah Swat, lahir seorang anak gadis yang lantang membela nasib pendidikan di negaranya. Gadis ini bernama Malala Yousafzai. Seorang gadis yang lemah lembut dan cintakan kedamaian. Punya keluarga yang baik, serta kehidupan yang bahagia. Dia hidup bersama ayah dan ibunya, beserta dua orang adik lelakinya yang nakal, dan dua ekor ayam sebagai binatang peliharaan.

Suasana nyata menjadikan anak gadis ini berbeza daripada anak-anak gadis yang lain. Tika anak-anak gadis yang lain ini sibuk melaram dengan dunia fashion dan alam cintan-cintun mereka, Malala Yousafzai nyata  berbeza. Pada tahun 2009, sesuatu terjadi. Rejim Taliban telah mengarahkan semua sekolah-sekolah perempuan ditutup , dan remaja perempuan khususnya telah dilarang daripada menghadiri sesi persekolahan mereka. Tindakan ini mengundang kemarahan Malala. Walaupun pada ketika itu umurnya baru berusia 12 tahun, tetapi pemikirannya begitu matang sekali. Beliau telah mula menulis pengalaman pribadinya kepada BBC seawal usia itu. Tetapi, identitinya dirahsiakan oleh sebab-sebab keselamatan.

Antara kata-katanya yang sangat menyentuh hati ialah ;

” I have a new dream … I must be a politician to save this country. There are so many crises in our country. I want to remove these crises. “

“My purpose is to serve humanity”

Ayahnya sempat berseloroh ketika diinterview oleh journalis New York Times ;

“Saya tahu cita-citanya mahu menjadi seorang doktor. Tetapi saya lihat, potensinya lebih besar untuk menjadi seorang ahli politik dan mengubah nasib bangsanya di sini “

Dan pada ketika usianya 12 tahun, dia juga mampu menulis seperti ini di blog BBC ;

I had a terrible dream yesterday with military helicopters and the Taleban. I have had such dreams since the launch of the military operation in Swat. My mother made me breakfast and I went off to school. I was afraid going to school because the Taleban had issued an edict banning all girls from attending schools.

Only 11 students attended the class out of 27. The number decreased because of Taleban’s edict. My three friends have shifted to Peshawar, Lahore and Rawalpindi with their families after this edict.

On my way from school to home I heard a man saying ‘I will kill you’. I hastened my pace and after a while I looked back if the man was still coming behind me. But to my utter relief he was talking on his mobile and must have been threatening someone else over the phone.

Malala Yousafzai, 3 January 2009 BBC blog entry

Semasa membaca kata-kata ini, saya terbayangkan nasib remaja di Palestin. Mereka seolah-olah mempunyai satu persamaan, iaitu ;

Semangat juang yang tinggi

Tahun berganti tahun, bulan berganti bulan, dan minggu berganti minggu. Malala kini berusia 15 tahun. Dirinya semakin dikenali oleh masyarakat dunia, dek kerana kelantangannya membela nasib kanak-kanak di Pakistan yang tidak mendapat hak pendidikan. Pada Oktober 2011, Desmond Tutu, mengumumkan Malala sebagai salah seorang calon, International Children’s Peace Prize dan beliau semakin dikenali di Pakistan. Beliau kemudiannya dianugerahkan Pakistan’s first National Youth Peace Prize 2 bulan kemudian

Ke “famousan” nya ini mengundang rasa tidak senang kepada rejim Taliban. Taliban seolah-olah menganggap Malala sebagai ancaman utama mereka. Ancaman utama mereka untuk “menegakkan syariat Allah” di muka bumi Pakistan. Saban hari, gadis remaja ini dihujani dengan bermacam-macam ugutan bunuh. Hinggalah pada suatu hari ini.

Malala pada ketika itu baru sahaja pulang daripada mengambil peperiksaan di lembah Swat. Beliau ditemani beberapa orang rakannya, menaiki bas pulang rumah. Tiba-tiba

“Dua orang lelaki bertopeng menahan bus itu dan menjerit ! “

“Di mana Malala ! Jika tidak, aku bunuh semua orang di dalam bas ini ! “

Malala ketakutan. Mimpi ngerinya selama ini menjadi realiti..

“Bang ! ” Bunyi tembakan

Gadis remaja ini rebah.

Peluru hidup menembusi kepala, leher dan bahunya.

Peristiwa ini sungguh tragis.

The Times

Allah masih sayangkan gadis ini. Sejurus kejadian itu, beliau diterbangkan di Peshawar sebelum membuat rawatan rapi susulan di Brimingham. Berkat ketabahan dan pengorbanannya , beliau telah dinobatkan sebagai individu ke-2 paling berpengaruh di dunia selepas Barrack Obama. Keputusan ini meninggalkan calon-calon hebat lain seperti, ceo Apple, Tim Cook di tempat ke 3, dan Dr Mursi di tempat ke 4.

Inilah Malala Yousafzai, seorang anak gadis yang hidup dalam “keterpaksaan” suasana sehingga berjaya menjadi seorang insan yang hebat. Namun ..

Adakah ini adalah konspirasi ?

Jeng-jeng-jeng.

Macam the arrival pula. Mulanya saya hendak menafikan konspirasi total terhadap insiden ini. Namun selepas melihat, teori konspirasi ini datangnya daripada golongan Islamis yang sangat terkemuka lagi dipercayai di Pakistan iaitu “Jamaat-e-Islami” , saya mula mengiyakan serba sedikit pernyataan mereka.

Menurut Dr Samia Raheel Qazi, Ketua Wanita Jamaat-e-Islami, segala adegan-adegan ini telah dirancang oleh CIA dan Amerika Syarikat. Mereka mahu mengambil kesempatan atas apa yang berlaku kepada orang Islam di Swat Valley untuk meraih sokongan dunia.

Jika anda melihat kembali paparan video di You Tube, anda akan lihat, kebanyakkan barang-barang bantuan adalah tajaan USA. Dan bukannya daripada kerajaan Pakistan. Sedangkan kerajaan Pakistan bukanlah sebuah negara miskin dan mempunyai sistem pertahanan yang lemah. Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari telah beberapa kali diselar oleh Malala kerana lambat menghantar bantuan kepada penduduk di lembah Swat. Baik bantuan makanan, ubat-ubatan mahupun bantuan tentera.

“At times I think if Zardari’s daughter were studying in Swat the schools would have never shut down.”

Kerajaan ini seolah-olah dikawal oleh sebuah kuasa besar yang lain, iaitu Amerika Syarikat. Segala tindak tanduk dan arahan, semuanya bermula daripada sana. Amerika Syarikat, dengan sistem kententeraan yang dimilikinya sebenarnya mampu sahaja memusnahkan rejim Taliban dalam sekelip masa. Namun mereka, seolah-olah, mahu tunggu dan lihat akan tindakan susulan yang boleh diambil. Nyata, mereka bukan sahaja mahu memperalatkan kelemahan sistem Pakistan, tetapi mahu meracuni pemikiran rakyat Pakistan, supaya bencikan Islam tetapi pada masa yang sama, cintakan Islam juga. Tetapi Islam yang bagaimana ?

Islam Amina Wadud

Beberapa hari selepas kejadian itu, laman twitter Amina Wadud dibanjiri, pertanyaan dan salutation-salutation melampau daripada wanita-wanita Muslim serata dunia, khususnya golongan berpelajaran di Pakistan. Mereka menyeru supaya Amina Wadud datang sendiri ke Pakistan dan membela nasib wanita-wanita Muslim yang nyata ditindas di sana.

Pada ketika itu, saya masih lagi samar-samar akan apa yang berlaku. Namun, ada juga simpan sedikit rasa janggal dan hairan, kenapa sebegini Amina Wadud diagungkan oleh masyarakat dunia. Adakah kerana dia pejuang feminisme muslim yang membawa ideologi liberal ? Ataupun dia adalah agen yang ditaja oleh Amerika Syarikat dalam membawa ideologi liberal ke dalam pemikiran orang islam ? Semuanya masih lagi dalam persoalan mungkin. Tepat atau tidak. Wallahualam.

Cumanya…

Islam dan hak asasi wanita.

Muhammad Qutb di dalam bukunya, Salah Faham terhadap Islam, berjaya menerangkan secara terperinci hak-hak wanita dalam Islam. Beliau berjaya menjawab segala persoalan pejuang-pejuang feminisme dengan baik sekali. Antara isu yang dibincangkan, ialah isu pendidikan wanita. Menurut beliau, wanita Islam, sama sekali tidak dilarang untuk mempelajari apa jua ilmu yang baik, malahan menuntut ilmu itu ialah satu kefardhuan yang dituntut ke atas setiap umat Islam.

Dalam soal ini, Islam sama sekali tidak membezakan antara darjat golongan lelaki dan wanita. Sebagaimana tafsiran golongan liberal ini yang menuduh bahawa Islam memusuhi wanita, menjatuhkan taraf dan kehormatan wanita, Islam menghancurkan perasaan golongan wanita yang ingin berbangga dengan kepribadiannya dan Islam menganggap wanita tidak lebih sebagai binatang, tempat pemuas nafsu lelaki dan kilang untuk menghasilkan zuriat.

Islam tidak seperti itu, malahan Islam begitu memuliakan golongan wanita. Seorang sahabat r.a bertanya, siapakah yang patut aku cintai selepas Allah dan Rasulnya ?

Maka jawab Baginda saw,

Ibumu,

Kemudian tanya sahabat itu lagi,

Ibumu,

Kemudian,

Ibumu dan kemudian barulah ayahmu.

Tidak cukup dengan itu, sejarah juga membuktikan bahawa, Islam datang sebagai rahmatan lil alamin. Rahmat bagi seluruh alam. Hatta seorang sahaja wanita Islam kedengaran diusik, segerombolan tentera datang membela.  Tidak cukup dengan itu ? Islam juga membela hak “cemburu” seorang wanita.

Kisah cemburu Fatimah r.ha

Seperti wanita biasa, Fatimah r.ha juga punya perasaan cemburu. Perasaan cinta akan suaminya itu adakalanya mengundang rasa hati yang berontakan. Namun, kali ini cemburunya sudah tidak dapat ditahan. Lantas dia mengadukan perkara itu kepada Rasulullah saw

“Ayah… “

“Ali, ayah.. “

“Kenapa dengan Ali ? ” Tanya Rasulullah saw

“Ali mahu menikahi puteri Abu Jahal ayah” Kata Fatimah r.ha sambil mengalirkan air mata

Hati Baginda saw berasa seperti sangat disakiti, apabila puterinya itu disakiti. Lantas Baginda berdiri lalu berpidato di atas mimbar,

“Sesungguhnya Fatimah daripadaku dan aku takut berlaku fitnah terhadap agamanya.”

Ternyata Rasulullah saw tidak merestuinya dengan sabdanya yang bermaksud

“Sesungguhnya aku bukan hendak mengharamkan apa yang halal dan mengharamkan apa halal, tetapi demi Allah, tidak akan berkumpul puteri Rasulullah dan puteri musuh Allah pada seorang lelaki buat selam-lamanya”

Mishwar b. Makhramah pernah mendengar Rasulullah saw bersabda di atas mimbar yang bermaksud :

“Bani Hasyim memintaku merestui pernikahan puteri mereka dengan Ali B Abi Talib. Aku tidak izinkan dan aku tidak izinkan. Jika Ali menceraikan puteriku dan menikahi puteri mereka. Puteriku adalah bahagian daripadaku. Apa yang membuatnya gelisah juga membuatkku gelisah, dan apa yang menyakitinya juga menyakitiku ” (Riwayat Muslim no. 2449)

Maka Ali r.a menolak pinangan Abu Jahal.

Nyata, Islam begitu menjaga hak seorang wanita, hingga kepada rasa hati dirinya, seperti mana yang dilakukan Rasulullah saw dalam memahami dan membela rasa hati puterinya itu.

Cakna.

Umat Islam kini memerlukan pejuang-pejuang hak asasi manusia yang lantang seperti adik Malala Yousafzai ini. Pejuang-pejuang hak asasi manusia yang menjadikan sistem Islam sebagai garis panduan mereka dan bukannya resolusi hak asasi dunia tajaan barat. Supaya apa ? Supaya pejuang-pejuang hak asasi dunia tajaan barat ini sedar bahawa mereka tidak boleh memperalatkan Islam di atas sistem islam itu sendiri. Seperti contoh apa yang berlaku kepada adik Malala. NGO pertama yang memberi bantuan adalah NGO-NGO hak asasi dunia daripada negara barat. Mereka sanggup mengeluarkan biaya yang besar, hanya untuk menanggung kos pembedahan adik Malala ini. Seketika saya hairan, mana perginya kita ? Itu belum lagi dengan apa yang berlaku di seantero dunia.

Sebagai contoh, laman web avaaz, sebuah laman web yang cukup aktif dalam membawakan isu-isu hak asasi manusia di serata dunia. Isu-isu yang dibawa bukan sekadar peperangan, tetapi isu-isu yang melibatkan pendidikan, kemusnahan flora dan fauna, isu kekurangan makanan dan lain-lain lagi. Kita tidak boleh selamanya menyalahkan barat atas apa yang mereka fahami. Kerana mereka faham dan berjuang atas dasar itu walaupaun dasar itu salah. Tugas kita adalah untuk memahamkan mereka, dan memahamkan dunia, bahawa sistem Islam adalah sistem yang terbaik. Sistem yang membawa rahmat. Bukan sahaja kepada manusia, tetapi kepada semua makhluk, termasuklah bumi yang sedang kita duduki ini.

Justeru, sebagai kesimpulan..

Anggaplah ini sebagai cabaran kepada kita semua, walaupun ianya bukan mudah.

Isu yang perlu kita perjuangkan bukan sekadar isu seperti ini :

“Muhammad is @$$(($))!!**&&”

“Islam is terrorist ! “

Tetapi juga isu seperti ini ;

“Save our planet ! “

“Save our earth ! “

“Stop open burning ! “

Amatlah janggal bila hati kita hanya sensitif kepada cemuhan-cemuhan kepada isu-isu agama, tetapi tidak kepada isu-isu kemusnahan alam. Islam itu syumul. Seharusnya, bila hati kita sensitif kepada isu-isu yang melibatkan penghinaan Islam, hati kita perlu juga sensitif kepada isu-isu pencemaran alam sekitar. Dan pernyataan ini tidak menafikan kepentingan yang lebih utama mempertahankan maruah Islam pabila dihina. Terasa ?

Tepuk dada tanya iman.

Pesan saya, jangan buang sampah merata-rata lagi ye. Malulah jika anda seorang pejuang Islam, tetapi buang sampah merata-rata.

Wallahualam.

p/s : silalah menonton dokumentari ini,

(http://www.youtube.com/watch?v=9F5yeW6XFZk)

dan membaca tulisan Muhammad Qutb ini :

http://www.muslimdiary.com/downloads/Salah%20Faham%20Terhadap%20Islam%20-%20Muhammad%20Qutb.pdf

Oleh :

Editor Pena Orang Muda