Bosannya Sejarah ?

alhambra-4

Hari ini tepat menandakan enam hari saya pulang dari bersiar-siar di negara Eropah. Kalau mahu dikatakan penat, penat jugalah. Berjalan ke sana ke mari, sambil membimbit beg. Ingin saya kongsikan bahawa kalau di Eropah, jika anda ingin bersiar-siar anda perlu bersedia untuk berjalan kaki. Dan anda tidak boleh berjalan kaki secara ala lenggang kangkung. Anda harus berjalan kaki secara pantas. Di Ireland, kami gelar jalan kaki sebegini sebagai Irish Walk. Pertama kali anda cuba Irish Walk, saya pasti anda akan sedikit tercungap. Syukur kerana kami sudah siap menyewa sebuah kereta. Mudah kami untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang beratus kilometer antara satu sama lain.

Mahu tergelak juga bila difikirkan. Bagi kami pelajar luar negara, perkataan cuti musim sejuk dan cuti musim panas adalah perkataan yang ditunggu-tunggu. Maklum sajalah, cuti panjang. Ada yang ke Turki, ada yang ke Perancis, ada yang ke Amsterdam, dan ada juga yang tidak pergi ke mana-mana langsung.

Saya pula ke Sepanyol. Seminggu di sana sebelum meneruskan program jalan-jalan di UK pula. Tapi jika saya mahu berkongsi apa apa pengalaman, saya lebih mudah untuk menceritakan pengalaman saya di Sepanyol. Mengapa? Mungkin pada saya, Tanah Espana telah menyentuh hati saya sehingga ke dasar.

Di sebuat tempat bernama Plaza de Espana, terdapat belasan gambar yang menceritakan kekalahan tentera Abbasiyyah di tangan Ferdinand dan Isabel. Gambar itu dilukis pada jubin dinding dan diabadikan pada sebuah dataran besar, agar ditatap semua pengunjung. Pasti saja ramai pengunjung kagum dengan sejarah yang dirakam pada gambar-gambar tersebut. Tapi saya di situ duduk bertinggung sambil berfikir;

Apa sebenarnya makna sejarah?

Suatu benda yang telah direkod,itu adalah sejarah.

Suatu benda yang telah dicatat, itu adalah sejarah.

Suatu perkara atau subjek yang pada suatu masa dahulu pernah wujud dan kini tidak, itu sejarah.

Jadi sejarah dalam makna luas adalah suatu perkara yang berlaku dalam masa silam.  Hatta perkara seminit atau sesaat lepas juga adalah sejarah.

Sewaktu di sekolah menengah dahulu, saya tidak menyukai mata pelajaran Sejarah. Satu bab sahaja sudah mengandungi ayat yang panjang berjela. Setiap tahun, 10 bab sejarah perlu dihabiskan. Selepas  tiga tahun, 30 bab sudah saya khatam.  Kesannya, sehingga kini, saya dapat juga sekali sekala mengeluarkan fakta sejarah yang telah dipelajari semasa perbualan seharian. Namun begitu, satu lagi soalan terpacul keluar di kotak pemikiran;

Apakah sejarah yang kita ketahui itu benar?

Sejarah itu dipandu oleh bukti dan hasil temuan arkeologi. Ditambah pula dengan catatan manuskrip yang menceritakan keadaan masyarakat di waktu itu. Tapi, kita tidak boleh lupa dengan hakikat bahawa sejarah itu ditulis oleh pemenang (History is written by winners). Ini adalah fakta yang tidak disangkal sendiri oleh para sejarawan. Hakikat yang menyedihkan ini benar-benar berlaku. Mungkin saja sejarah-sejarah yang diceritakan tidak tepat malah ditokok tambah sehingga dilihat mengagung-agungkan sesuatu bangsa, kaum, atau masyarakat. Penemuan yang mengejutkan ini membangkitkan soalan ketiga dalam diri saya;

Sejauh mana sejarah sesuatu yang signifikan dalam diri saya?

Lama saya terdiam. Terpaku. Apabila kita membicarakan tentang sejarah, kita susah nak mengaitkan sejarah tersebut dengan diri kita. Mungkin kerana kita tidak berada di situ semasa sejarah tersebut berlaku. Mungkin saja kerana sejarah itu tidak berlangsung pada masa dan era kita. Mungkin juga kita sendiri enggan kisah dengan sejarah yang dilihat memeningkan dan menyesakkan minda.

Tapi sebenarnya, kita lupa bahawa ada suatu dasar yang mengikat kita dan sejarah, lebih-lebih lagi kita yang merupakan seorang muslim. Kita lupa bahawa dasar tersebut adalah akidah dan agama kita. Segala imbauan sejarah para muslimin, pada masa silam atau pada masa kini, adalah memori kita. Memori kita. Ya.

Itu semua adalah memori kita.

Dalam imbauan memori, kita dapat merasai sertaan emosi. Kita merasakan kesedihan,kekecewaan, kegembiraan, atau kebanggaan. Tapi mengapa dalam sejarah tidak? Mengapa kita melihat sejarah itu suatu yang kering dan lesu? Seseorang itu hanya boleh menyertakan emosi dalam sejarah hanya apabila dia merasakan sejarah itu membabitkan dirinya secara peribadi. Dan inilah perkara yang memalukan kita umat islam secara am; kita tidak lagi merasakan perihal orang islam yang lain pada masa kini atau masa lampau berkait langsung dengan diri kita.

Hidup mereka adalah hidup mereka. Hidup  kita adalah hidup kita. Tiada kaitan antara dua.

Inilah dasar yang kita pegang. Dasar apati.

Inilah antara sebab kita taklid buta pada sejarah; tidak mahu mencari kebenaran sejarah, terutamanya sejarah yang melibatkan kita iaitu umat islam. Kita percaya bulat-bulat kepada apa yang dikatakan orientalis tanpa sebarang usul periksa. Kita percaya bahawa tentera islam itu sememangnya merasakan pemerintahan di bawah Ferdinand dan Isabel itu lebih baik dari pemerintahan islam itu sendiri.  Walhal, kita yakin bahawa itu tidak mungkin sekali-kali berlaku. Lihat, betapa mudah sejarah yang ditulis oleh para pemenang merendah-rendahkan moral kita selaku umat islam. Dan kita, masih bergelak ketawa tanpa mahu memahami langsung apa pengajaran yang ditunjukkan oleh Allah melalui golongan terdahulu.

Saya bukan ahli sejarawan. Saya akui akan fakta ini. Mungkin saja apa yang saya katakan tidak tepat sama sekali. Tapi kita harus peka dengan sejarah kita. Dan kita harus rasa bangga, kerana sejarah kita bermula bukan pada saat negara kita ditubuhkan.  Memori kita wujud bukan pada saat kita dilahirkan. Tapi sejarah dan memori kita bermula, pada saat islam itu diturunkan.

Fahami sejarah dengan hati yang basah, bukan hanya dengan minda yang kering.

“Sesiapa yang mengambil pengajaran daripada sejarah, akan meningkatkan potensi kesedarannya” (Imam Syafie dalam ‘Aja-ib al –Atsar)

Wallahua’lam.

Fahmi Maslan
Perubatan, University College Cork

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s