Hiwar – Bahagian 1

tumblr_lwckdw7rIw1qkgl4po1_500

Ligat jari Marbo menaip. Jarinya tidak kekok menekan puluhan butang dan punat di papan kekunci  Al-Hamra. Al-Hamra, sahabatnya  yang benar-benar sejati. Pada waktu sukar dan menghimpit, Al-Hamra banyak benar membantu, lebih-lebih lagi pada musim kertas kerja mahupun tugasan maya. Jarang meragam. Senang diuruskan.  Ah,  Marbo memang benar-benar terhutang budi pada Al-Hamra!

Marbo tidak menghiraukan orang ramai yang lalu lalang di tepi Kedai Mamak ABC.  Matahari yang memancar cahaya terik dan membahang juga dia tidak endah. Matanya asyik pada skrin Al-Hamra.  Sekali sekala dia meraup juga mukanya, mengelap peluh-peluh yang meleleh di muka. Selepas itu dia kembali menatap skrin . Terdengar juga keluh kecil dari bibirnya, mungkin kerana berasa rimas dengan peluh-peluh yang melekit.  Melengas. Walau seingin mana dia untuk tidak menghiraukan bahang cuaca,  dia terpaksa menerima hakikat bahawa dia di Malaysia; sebuah negara khatulistiwa yang telah pesat membangun selepas 50 tahun  merdeka.

Jari Marbo terus ligat menaip.

Tap tap tap tap tap.

Tap tap tap tap tap tap tap.

Tap tap tap tap tap

Tap-

Marbo menggaru kepala. Dia tersalah taip. Lantas, butang Backspace ditekan berulang kali.
TIba-tiba kerusi di hadapannya ditarik keluar. Lancar dan perlahan. Tanpa bunyi seretan melampau.

“ Saya tumpang duduk di sini boleh?”, suara garau kedengaran.

Marbo masih lagi terpaku di hadapan Al-Humaira. Batang tubuhnya tidak digerak walau seinci. Perlahan-lahan, matanya dijengah melihat gerangan siapa pemilik suara itu.
Seorang lelaki dalam fasa umur 30-an tercegat di hadapan mejanya. Bajunya kemas. Tiada kesan kotor. Siap tuck in lagi, bisik hati Marbo. Rambutnya tersisir rapi. Ada sejempul janggut kecil di dagunya.
Mata Marbo terus meliar ke atas dan ke bawah memerhati sisi-sisi lelaki tersebut. Dia sebenarnya merasakan sesuatu dari pemuda itu. Dia bukanlah seorang gay. Simpang Malaikat 44 kalau itu berlaku! Bahkan, dia sering digelar sweet talker oleh rakan kolej. Semua gara-gara kehebatannya meleburkan benteng tebal hati wanita hanya dengan menggunakan kata-kata. Ya, dialah Marbo ! Jantan sejati! Semua orang tahu kehebatannya.

Tapi entah mengapa, riak wajah dan air muka lelaki tersebut seolah terpancar suatu keyakinan yang tiada malap. Tiada ragu.

Dia terpukau. Dia tertawan.
Dia tertarik dengan pesona lelaki itu!

“ Em..Encik, saya duduk sini boleh ke?”

Sekali lagi lelaki puluhan tahun itu bertanya kepadanya. Kilas angan Marbo serta merta terhenti.
“Boleh. Tak de siapa pun duduk di situ. Sila lah”

“ Terima kasih”

Seorang pelayan restoran datang menghampiri lelaki tersebut, bertanya sama ada dia ingin memesan sebarang makanan atau minuman.

“Teh O kosong. Makan.. takpe kot. Terima kasih.”

“ Encik pulak?”

“Takpe. Terima kasih”

Lalu, pelayan tersebut beredar pergi.

……

…..

…..

Sepi antara mereka. Tiada perbualan. Walaupun Marbo sangat berminat untuk lebih mengenali lelaki tersebut, tapi dia tidak boleh mengendahkan kerja yang semakin bertimbun.  Biologi, Farmakologi, Fisiologi. Lebih-lebih lagi dia kini di tahun akhir jurusan Bioteknologi, Universiti Monash. Dia tidak boleh membuang masa dengan apa yang dia lihat sebagai remeh atau tidak perlu.

Tap tap tap.

Tap tap tap tap tap tap

Tap tap tap tap tap ta-

“Encik ni, pelajar ke?”

Sebuah soalan terpacul keluar, melerai suasana yang sepi sebentar tadi.

Marbo mengangguk. “Ya”

“ Kau pula?” Giliran Marbo bertanya.

“Em. Pelajar juga. Tahun pertama di UIA”

Eh benarkah? Seorang pelajar pada usia sebegitu? Menarik.

“ Jurusan apa yang kau ambik? “

“ Bahasa Arab.  Encik pula?”

“Bioteknologi. Tahun akhir kat Monash”, senyum  Marbo.

Pada tona suaranya sebentar tadi, dia menekan ruap rasa bangga pada nama universitinya.  Siapa yang tidak kenal pada Monash? Tempat yang tersohor dan terkemuka dalam kalangan lapisan masyarakat elit dan berada.

“ Wah, hebat! Kagum saya pada encik. Nama saya Nukmin ”  Nukmin menghulur tangan mesra.

“ Marbo. Marbo Ijlis Bina ”, jawab Marbo sambil dia menyambut tangan yang dihulur Nukmin. Mereka berjabat.

Seorang pelayan terkocoh-kocoh membawa air yang dipesan Nukmin. Dalam pada itu, tanggan kirinya memegang erat sepinggan Nasi Goreng milik pelanggan lain. Waktu tengah hari memang sentiasa sibuk bagi Restoran Mamak ABC. Penjawat am mahupun swasta berkumpul di situ untuk menikmati makan tengah hari mereka. Tepat 2.30 nanti, mereka akan kembali semula ke pejabat mereka tidak jauh dari restoran tersebut .

Nukmin menghirup air Teh O yang baru saja sampai tadi. Manis yang sederhana. Aroma teh harum Lipton kegemarannya. Alhamdulillah, sedap air ini. Nukman memuji.

Pandangannya terus dialih ke Marbo. Selepas berjabat tangan, Marbo terus menghadap skrin komputer.Tiada soalan susulan mahupun sebarang respons keluar dari bibirnya. Momentum perbualan tadi telah hilang . Anti-klimatik.

Tiba-tiba, Nukmin tersenyum. Sesuatu terlintas di mindanya.  Mindanya telah terjana dek nama Marbo itu sendiri. Dia bukanlah mentertawakan nama tersebut, tetapi dia tertawa kerana dia baru sedar betapa berertinya nama itu. Ya. Marbo Ijlis Bina.

“ Nama kau sangat menarik Marbo”

Jari Marbo yang ligat menaip terhenti.  Matanya diseret keluar dari tetingkap skrin komputer lantas menatap wajah Nukmin yang tersenyum.

“ Maksud kau?”

BERSAMBUNG…

Fahmi Maslan
Perubatan, Cork University

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s