Mesir : Masa depan & Perjuangan (II)

Egyptian_Evening_1600x1200

SEPINTAS LALU : DAHULU HINGGA KINI

Saya pernah mendengar seorang teman saya bercerita tentang kata-kata pensyarahnya di kuliah.

Kata pensyarah tersebut : “Semoga Allah memanjangkan usia Hosni Mubarak!”
Lalu seorang pelajar bangun bertanya : “Mengapa doktor mendoakan panjang umur baginya sedangkan sudah banyak kezaliman yang dia lakukan?”
Lalu pensyarah tersebut menjawab : “Supaya lebih banyak dosa yang dia lakukan dan lebih berat hukuman yang akan diterima!”

Tentulah, kasar bunyinya doa ini. Mendoakan supaya diberi hidayah di saat hujung usia nampak lebih sesuai dengan adab Islam.

Tetapi doa si pensyarah bukan lahir dari hati yang hasad dan dengki. Apa yang dinyatakan ialah penyataan perasaan seorang rakyat yang duduk di bawah naungan pemerintahan Hosni Mubarak, Presiden Republik Arab Mesir yang paling lama memegang tampuk kekuasaan.

Egyptian President Hosni Mubarak (R) sha

Rentetan daripada pembunuhan Anwar Sadat pada tahun 1981 oleh sekumpulan pemuda radikal (kerana berdamai dengan Israel), Hosni Mubarak, mantan Ketua Turus Angkatan Tentera Udara Mesir mengambil alih kuasa pemerintahan. Selaku Presiden Republik Arab Mesir yang keempat (selepas Naguib, Nasser dan Sadat), Mubarak memulakan tempoh pemerintahannya dengan menguatkuasakan undang-undang darurat (Qanun At-Tawari’) yang membolehkan sesiapa sahaja ditahan, dipenjara, dan dibawa ke mahkamah tentera, dari kalangan rakyat biasa dengan perintah dari Presiden dan institusi keselamatan dalam negeri (Amn Ad-Daulah).

Undang-undang ini yang juga menyekat kebebasan bersuara dan berkumpul, masih berkuatkuasa sehingga ke hari ini, tanpa sebarang sebab yang logik dan boleh diterima.

trafficjam_cairo_egypt

Hampir 3 dekad Mubarak dan Parti Demokratik Nasional mentadbir Mesir, sesiapa sahaja hari ini akan mengakui satu hakikat bahawa pentadbiran mereka ialah pentadbiran yang gagal. Mesir hari ini jika dibandingkan dengan 40 tahun dahulu ternyata jauh lebih mundur. Dr Larbi Sadiki, penganalisis politik Timur Tengah, malah menyifatkan negara Mesir hari ini umpama ‘tubuh yang hanya tinggal rangka’. Mayat hidup.

Pengalaman saya sendiri hidup di tengah-tengah masyarakat Mesir sememangnya mendapati bahawa rakyat Mesir tidak dididik untuk semakin produktif dan maju. Kerajaan nampaknya lebih selesa jika rakyatnya, khususnya golongan pemuda, menjadi dungu dan ‘mandul’. Usaha-usaha peningkatan potensi rakyat, jika pun wujud, hanya bersifat kosmetik dan propaganda serta tertumpu pada golongan atasan sahaja.

Mengambil contoh yang paling mudah; Dr Amr Khaled, seorang penceramah dan pendakwah bebas, yang amat diraikan di negara lain, dihalang dari memberi syarahan dan ceramah di Mesir, sedangkan isi-isi syarahannya nyata telah berjaya menjadikan pemuda dan pemudi Mesir lebih baik jatidiri mereka dan lebih produktif. Bukankah orang seperti ini sepatutnya dikira sebagai aset berharga bagi sebuah kerajaan yang ingin memajukan negara?

GamalMubarak

Desas-desus bahawa Hosni Mubarak bakal mewariskan legasinya kepada anaknya sendiri, Gamal Mubarak, sudah bukan lagi khabar angin. Di mana-mana sahaja kain rentang Parti Demokratik Nasional tergantung, dua wajah anak-beranak Mubarak ini pasti terpampang. Sekali pun berlaku kemungkinan Hosni Mubarak bakal meneruskan lagi tempohnya sebagai Presiden, banyak analisis menyatakan Gamal bakal menjadi watak utama dalam pemerintahan Parti Demokratik Nasional selepas ini.

Berbeza dengan ayahandanya, Gamal Mubarak bukanlah seorang veteran perang. Beliau malah tidak pernah sama sekali menyertai mana-mana peperangan bersenjata mempertahankan Mesir dari musuh. Dengan latar belakang pengajian pentadbiran perniagaan dan pengalaman bergelumang dengan duit, aset, dan harta sebagai seorang pegawai bank, tentu sekali kecenderungan dan pemikiran Gamal jauh berbeza dengan ayahnya.

Sebagai sebuah negara dengan rekod tentera dan peperangan yang agak membanggakan, kehadiran seorang pemimpin elitis ekonomi seperti Gamal Mubarak bukanlah satu petanda yang baik. Sudah boleh dijangkakan, jurang antara miskin dan kaya yang sedia ada pada hari ini, bakal menjadi lebih dahsyat dan teruk. Campur tangan ekonomi oleh kuasa-kuasa ekonomi asing bakal meningkat, dan sistem kapitalis sedia ada, bakal mempunyai pengaruh yang kuat dan lebih mencengkam.

Rakyat miskin akan menjadi lebih melarat hingga tidak terbayang dek akal, dan golongan atasan yang kaya akan menjadi lebih kaya-raya, juga hingga tidak terbayang dek akal. Kesan dari ini, segala sudut lain kehidupan rakyat Mesir akan melihat graf jatuh menjunam.

* * * * * *

Inilah apa yang bakal dihadapi oleh Mesir dan rakyatnya pada pilihanraya parlimen dan Presiden kali ini. Sejarah pemerintahan dengan rekod terburuk, dan seorang Presiden yang mungkin memburukkan lagi rekod tersebut.

Tidak mustahil satu hari nanti, jika tiada perubahan, Mesir juga mungkin mengalami apa yang dialami oleh negara-negara miskin dan terjajah ekonomi dan politiknya seperti Sudan, Iraq, dan Pakistan.

Bersambung

Baca juga,

Mesir : Masa depan & Perjuangan Pendahuluan

Syed Ahmad Isra’
Universiti Al Azhar Mesir

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s