Catur terakhir Sang Raja

1909 Abdulhamid-II

Suasana pada ketika itu sangat genting. Kerajaan Islam Turki Uthmaniah sedang berperang dengan negara Yunani.

Jauh di satu sudut Istana Yaldiz kelihatan seorang Raja sedang mundar mandir memikirkan strategi jihad yang sesuai untuk berhadapan dengan tentera Yunani. Dalam keadaan negara yang sedang ditekan oleh kuasa-kuasa besar Eropah, nyata situasi ini cukup merunsingkan.

Dalam kerungsingkan yang berpanjangan itu, tiba-tiba baginda terpandang sesuatu. Kelihatannya seluruh anggota keluarga baginda sedang bekerja untuk kepentingan jihad sekadar kemampuan mereka. Ada yang menjahit pakaian, menenun kain dan menyediakan makanan.

Hati baginda jadi lega dan sejuk. Beliau sama sekali tidak menyangka, tarbiyah Islamiah yang berpanjangan ini membuahkan hasil. Anak-anaknya mewarisi semangat cintakan tanah air daripada bapa mereka.

Lantas dia memuji salah seorang puterinya. Nama Puteri itu , Sha’diyah.

“Tidak ada pekerjaan yang lebih menyeronokkan melainkan bekerja untuk negara. Semoga Allah melindungi negara kita daripada musuh duhai anakku. “

Perkataan baginda itu benar-benar membuatkan naluri puterinya itu tersentuh. Lantas Puteri Sha’diyah dan puteri-puteri yang lain semakin cepat dan bersemangat untuk menjahit pakaian tentera. Mereka khuatir masa semakin suntuk, sedangkan musuh semakin mara ke hadapan.

Subhanallah !

Siapakah sosok pribadi mulia itu ?

Sultan Abd Hamid (ii)

Nama Khalifah yang mulia ini ialah Sultan Abd al-Hamid (II) bin Sultan Abd al-Majid bin Sultan Mahmud (II). Baginda adalah sultan yang ke 34 daripada dinasti Uthmaniyyah. Dilahirkan pada 16 Shaaban 1258H bersamaan 21 September 1842M.

Baginda merupakan sultan pertama yang berusaha memerangi gerakan pembaratan Turki atau westernisasi secara rasmi dalam kerajaan Uthmaniyyah. Baginda berkuasa selama 33 tahun sebelum dijatuhkan oleh  ”anak-anak kerajaan” ataupun pembangkang yang mengelarkan diri mereka sebagai “al-ittihad wa al-Taraqqi” .

Anak-anak kerajaan ? Anda pasti tertanya bukan kenapa seorang Sultan memanggil pembangkang yang jelas tercemar ideologi mereka ini dengan gelaran “anak-anak kerajaan” dan bukannya mencela mereka ? Hal ini kerana, Sultan Abd Hamid adalah seorang raja yang sangat sayangkan rakyat jelatanya, hatta mereka itu pemberontak sekalipun. Sesuatu yang boleh kita pelajari di sini.

*Aha.. maaf mood skema telah kembali.

Menyelusuri kembali sejarah Turki Uthmaniah yang panjang pasti membawa kita menemui beberapa butir permata yang berkilau di balik batu-batuan yang sepi lesu tanpa cahaya.

Malangnya permata yang benar-benar berkilau ini meniti ramai “pencuri” yang dengki akan kilauan cahaya yang dimilikinya. Masing-masing berebut ingin mencuri takta si permata itu.

Tidak terlepas daripada segala ancaman itu adalah Sultan Abd Hamid (ii) sendiri. Permata umat Islam di celahan ancaman westosikasi barat yang menghunjam.

Namun, atas izin daripada Ilahi, dan berkat kebijaksanaan Sang Raja, kerajaan Uthmaniah yang digelar sebagai “the sick man of Europe” itu mampu bernafas selama 33 tahun ! Satu tempoh yang lama bagi sebuah daulah yang sedang meniti saat kehancuran.

Ingin tahu bagaimana bijaknya Sang Raja. Mari kita lihat strategi-strategi yang telah digunakannya.

Sultan Abd Hamid ketika meninggalkan istananya

Catur Sang Raja

Sebagai seorang Raja yang sangat bijak berpolitik dan fasih akan isu-isu semasa, Sultan Abd Hamid juga bijak bermain catur di meja politik. Meski yang tinggal di papan catur putih itu cumalah sang “Raja” berseorangan, “Sang Raja” bijak menangguhkan kemenangan lawan yang masih punya armada tentera yang besar.

Boleh bayangkan ? Mudahnya begini. Anda sedang bermain catur, main punya main, anda akhirnya hampir kalah. Buah catur yang anda tinggal hanyalah King “seorang” berbanding lawan anda yang masih punya jumlah catur yang banyak. Pasti mustahil bukan untuk menang berhadapan dengan lawan anda itu ? Tetapi, jika anda seorang yang cekap/hebat anda pasti boleh menangguhkan kemenangan lawan anda itu dan mengheret perlawanan hingga beberapa jam lamanya.

Ngerti ?

Kita bersambung lagi. Semenjak menjadi Putera Makhota, Sultan Abd Hamid (ii) telah melengkapkan dirinya dengan pelbagai jenis ilmu seperti ; agama, ketenteraan, siasah (politik) dan kebudayaan. Hari-harinya dihabiskan dengan menelaah buku-buku. Baginda bukanlah seorang Putera Raja yang suka duduk goyang kaki dan berfoya-foya seperti kebanyakkan putera-putera Raja yang lain. Berkat didikan serta tarbiyah berterusan daripada ibu tirinya yang juga merupakan seorang wanita yang alim serta tawaduk, baginda menjadi seorang Raja yang lengkap dengan ciri-ciri seorang Raja yang digariskan oleh Islam. Quwwah dan amanah !

Diceritakan semasa beliau masih lagi menjadi putera makhota, kerajaan Uthmaniah telah dijemput untuk mengadakan lawatan di Eropah. Baginda seorang yang cerdik. Masa-masa yang ada sebelum lawatan itu Baginda gunakan sebaiknya untuk mengkaji demografi politik Eropah dan pemikiran-pemikiran Barat. Justeru bila sampainya di sana, Baginda tidak hanya “WOOWW ! ” ternganga mulut sana sini, tetapi beliau lebih banyak memerhatikan pola pemikiran rakyat Eropah. Melalui pemerhatian itu, baginda dapati bangsa Jerman memiliki banyak kesamaan dari segi sikap, semangat, dan budi pekerti dengan bangsa Turki. Oleh itu Baginda tidak segan silu mengirimkan wakil-wakil tenteranya ke Jerman untuk mempelajari seni ketenteraan moden dan menjalinkan hubungan secara tidak langsung dengan Jerman bagi mengukuhkan kedaulatan Uthmaniah dan menidakkan campur tangan negara-negara Eropah lain seperti Inggeris dan Rusia.

“Best man win ! “

Sultan Abd Hamid (ii) juga dikenali sebagai individu yang kuat bekerja. Beliau bekerja selama lebih 14 jam sehari. Rutin hariannya dimulakan dengan membaca laporan negara satu persatu, mendengar aduan rakyat, membaca akhbar-akhbar untuk memahami situasi politik semasa dan mengkaji maklumat risikan yang diterimanya daripada perisik yang diutuskannya di serata tempat. Beliau mengakhiri harinya dengan ditemani novel-novel yang ringan. Beliau berkata, hanya novel-novel inilah yang boleh membuatkan beta tertidur selepas seharian penat berfikir masalah negara.

Ekonomi

Dari sudut ekonomi, baginda adalah pemimpin pertama yang menyedari akan kepentingan  ekonomi. Hal ini diakui sendiri oleh orientalis barat. Baginda memandang hutang kerajaan Turki yang mencecah 400 juta lira itu sebagai satu bebanan dan menjadikan negara semakin miskin dan mundur. Bila negara dalam keadaan sebegitu, maka pihak Eropah akan mudah mempergunakan kuasa ekonomi mereka untuk memperalatkan kerajaa Turki Uthmaniah.

Antara cara Sultan Abd Hamid mengurangkan hutang kerajaan Uthmaniah adalah dgn menyuruh rakyatnya berjimat cermat. dan baginda menunjukkan contoh tauladan yg baik dengan bermula daripada diri baginda sendiri :

1) Baginda berpindah dari istana Doulma Bakhjah yang besar kepada istana Yaldiz yang kecil.

2) Baginda mengeluarkan arahan keras menegah seluruh pekerja istana melakukan pembaziran dn pemborosan dalam menyediakan hidangan-hidangan diraja disamping mengurangkan majlis-majlis perayaan dan lain-lain majlis keraian.

571px-Map_of_Al_Hijaz_Train_Lines

Peta landasan kereta api daulah Uthmaniah

Teknologi

Ha, ini menarik. Tahukah kita bahawa, Turki Uthmaniah adalah negara pertama yang mempunyai sambungan telegraf terpanjang dunia merentas benua Arab hingga ke Madinah al munawwarah. Ajaib bukan ? Negara Eropah pun tidak semaju itu.

Idea penyambungan wayar telegraf ini telah dirintis oleh Sultan Abd Hamid (ii) setelah mendapat tahu bahawa teknologi komunikasi ini membawa manfaat yang sangat besar kepada negara. Beliau telah mengupah jurutera daripada Belgium untuk mengajarkan teknologi ini kepada para petugas jabatan komunikasi Uthmaniah. Selang beberapa bulan, juruteknik-juruteknik ini mampu memasang sendiri wayar telegraf ini tanpa campur tangan Eropah.

Apa yang menariknya di sini, rakyat jelata menyumbang sendiri apa-apa yang mereka boleh sumbangkan seperti kayu hutan sebagai tiang wayar dan sebagainya. Tidak terlepas dari menyumbang juga, sudah semestinya para menteri dan Raja sendiri.

Dari sudut kemudahan pengangkutan, satu projek pembinaan landasan kereta api terpanjang yang menghubungkan antara Damsyik dan juga kota Mekah telah dibina tanpa mengunakan sedikitpun bantuan daripada Eropah. Hal ini dianggap ajaib kerana Turki Uthmaniah tidak memiliki upaya kewangan yang begitu tinggi.Walaupun begitu, Umat Islam daripada serata dunia telah mengambil inisiatif dengan menyumbangkan harta mereka bagi menjayakan projek ini. Sumbangan ini dimulakan sendiri oleh Sultan Abd Hamid (ii). Beliau telah menderma sebanyak 50 ribu lira Turki dengan mengunakan duit poketnya sendiri dan bukannya harta negara !

Kepentingan landasan kereta api ini terhadap umat Islam adalah tersangat banyak. Di samping memudahkan perjalanan jemaah haji, ianya juga sangat relevan terhadap usaha dakwah yang sedang berkembang pesat saat itu.

Antara usaha dakwah ataupun fikrah Islamiah yang cuba disampaikan oleh Sultan Abd Hamid (ii) ialah ;

Tokoh Islah : Jamaluddin Al Afghani

Tokoh Islah : Jamaluddin Al Afghani

Pan Islamisme

Pan Islamisme ataupun gerakan kesatuan Umat Islam adalah satu usaha yang dirintis oleh Sultan Abd Hamid (ii) selepas melihat nasib Umat Islam di serata dunia kelihatan seperti telur di hujung tanduk. Fahaman nasionalis dan perkauman melampau telah mula menebal dalam diri setiap daripada Umat Islam. Aku-aku dan kau-kau. Umat Islam hanya memikirkan suku dan keturunan mereka sahaja tetapi melupakan saudara-saudara se Islam mereka yang ditindas.

Apa yang menarik dalam usaha ini ialah penglibatan salah seorang ulama Melayu iaitu Syeikh Dawud Fataniy. Syeikh Dawud Fataniy merupakan antara tokoh penting selain Jamaluddin Al Af Ghani dan Syakib Arsalan dalam gerakan kesatuan Islam ini. Apa yang membuatkan saya bertambah “salute” terhadap Syeikh Dawud Fataniy ialah, kitabnya yang bertajuk “al-Sifat al-Ishrun” , “al Bahjah al Saniyyah fi al-aqaid al sunniyah” dan “Tahsil nayl al-muram sharh aqidat al-awam” telah dicetak di Percetakkan al -Amiriyyah iaitu sebuah kilang percetakan milik kerajaan Daulah Uthmaniah dan kitab-kitab ini kemudiannya disebar luaskan di serata negara Islam.

Selain penyebaran kitab, keprihatinan Sultan Abd Hamid (ii) terhadap pendidikan juga diambil kira. Baginda menubuhkan banyak sekolah-sekolah yang melatih tentera, sekolah-sekolah ekonomi dan politik, sekolah-sekolah yang mengajar agama dan Sains dan juga sekolah-sekolah khusus untuk golongan wanita.

Sultan Abd Hamid (ii) memandang pendidikan wanita sebagai salah satu aspek terpenting pendidikan kerana di tangan seorang wanitalah nasib umatnya bakal dibentuk di kemudian hari.

Walaupun kemudiannya Sultan Abd Hamid (ii) akhirnya digulingkan, sebenarnya usaha awal yang dilakukan baginda merintis kepada kebangkitan Islam seperti apa yang kita lihat sekarang. Baginda seolah-olah membuka ruang dan memberi kita kunci, bahawa jalan inilah yang bakal kamu lalui wahai generasi selepas ku.

Jalan dakwah dan juga tarbiyah.

Dan apakah syarat kekuatan umat ?

“Kesatuan Umat Islam ! “

Wallahualam.

Ops sebelum terlupa, ada satu perkara yang saya lupa untuk sebut. Penyakit umat pada zaman Sultan Abd Hamid adalah penyakit malas terlampau dan suka menganggur. Hinggakan beliau terpaksa kerahkan ulama dan para penguasa secara besar-besaran supaya bangkitkan semangat rakyat yang malas ini.

Rujukan : Dr Eeman Mohamed Abbas “Sultan Abd Hamid (ii) dan kejatuhan Khilafah Islamiah.

p/s : Saya sarankan anda semua wajib baca buku ini. Rasanya terlalu banyak fakta sejarah yang saya tidak mampu saya tuliskan di sini, memandangkan saya amat sukar untuk mengingat tarikh :)

Asyraf Farique

Advertisements

Ikhwan Muslimin dan Politik

Freedom and justice

Dipetik daripada Majmu’ Rasail selepas dihurai ringkas oleh Dr Taufiq Yusf Waiy (Seorang tokoh Ikhwan) ;

Ikhwan berkeyakinan bahawa gagasan politik Islam merupakan personaliti agama ini. Ia diturunkan untuk mengatur perjalanan kehidupan manusia berdasarkan syariat Allah. Ia juga bertujuan memandu manusia kepada kebaikan dan jalan yang lurus. Sejajar dengan tujuan tersebut, dakwah Ikhwan Muslimin bangun untuk mengembalikan manusia kepada kefahaman yang tepat terhadap Islam yang syumul. Juga untuk menghubungkan mereka dengan dakwah pertama dan sumber yang suci murni agama ini.

Lantaran itu, dakwah mestilah beredar sejajar dengan putaran dan peredaran Islam. Ia hendaklah dipandu dengan syariat. Ia tidak menghiraukan slogan sebaliknya intipati sebenar gagasannya. Jika memandu manusia dengan Islam dan mengurus urusan manusia dinamakan politik, maka kitalah orang yang paling unggul dalam politik. Jika tugas memberi khidmat nasihat kepada ummat tentang kemaslahatan mereka, dalaman dan luaran pada hari ini dijalankan melalui proses perwakilan, maka kitalah pihak peratama yang perlu diminta pandangan.

Kita dan Politik (Dipetik daripada kata-kata Imam Hassan Al Banna dalam muktamar ke 6)

Ada sesetengah pihak yang mempersoalkan : Apa kena mengena Ikhwan dengan Parlimen ? Ikhwan adalah pertubuhan agama sedangkan parlimen adalah ruang untuk badan politik. Bukankah betul apa yang dikatakan oleh orang ramai bahawa Ikhwan Muslimin adalah pertubuhan politik ? Mereka bukan mengajak manusia kepada Islam sahaja, seperti yang mereka dakwa.

Dengan berterus terang dan jelas saya menjawab segala persoalan ini : Saudara, jika ada yang mengatakan kita pertubuhan politik dengan maksud pertubuhan politik kepartian dan amalan kami ialah menyokong parti tertentu dan menentang parti yang lain, bukan ini sifat kami dan kami tidak akan sama sekali bertindak sedemikian. Tiada siapapun yang dapat membuktikan tuduhan ini.

Jika kami dikatakan sebagai pertubuhan politik atas dasar kami mengambil berat soal umat Islam ini, atau kerana kami berfahaman bahawa kuasa eksekutif merupakan sebahagian ajaran Islam dan tertakluk kepada hukum hakamnya, atau kerana kami mempercayai kemerdekaan politik dan maruah bangsa adalah sebahagian rukun atau fardhu Islam, atau kerana kami bekerja dengan penuh gigih untuk memperolehi kemerdekaan mutlak dan memulihkan jentera pentadbiran, maka memang benar itulah kami. Kami yakin kami bukan membawa perkara yang baru. Apa yang diperkatakan ini difahami oleh setiap orang Islam yang benar-benar mempelajari Islam.

Kata Imam As Syahid lagi,

Jarang sekali anda bertemu dengan seseorang yang tidak memisahkan antara politik dan Islam apabila dia memperkatakannya. Kedua-dua perkara ini akan diletakkan di tempat berasingan. Bagi sesetengah masyarakat, kedua-dua perkara ini tidak boleh bersama. Oleh kerana itu dinamakan sesebuah pertubuhan sebagai pertubuhan Islam dan bukannya pertubuhan politik atau perhimpunan ini satu perhimpunan agama bukan perhimpunan politik. Anda juga boleh lihat perlembagaan pertubuhan-pertubuhan Islam ada mencatatkan ; “Pertubuhan ini tidak terlibat dengan soal politik ”

Sebelum saya bincangkan perkara ini dengan lebih mendalam, ingin saya bawa saudara melihat dua perkara penting :

Pertama (Beza antara politik dan politik kepartian)

Wujud perbezaan antara amalan “kepartian” dan “politik”. Adakala kedua aspek ini seiringan dan adakalanya tidak. Adakala seorang lelaki itu berpolitik dengan ertikata yang sebenar tetapi dia bukan ahli daripada mana-mana parti. Adakalanya seorang lelaki itu menjadi ahli parti tetapi dia tidak tahu menahu soal politik. Mungkin ada yang mengabungkan kedua-duanya sekali. Dengan itu dia menjadi ahli politik yang berparti atau ahli parti yang berpolitik. Apabila saya berbicara tentang politik, saya merujuk kepada ertikata politik yang mutlak iaitu mengambil berat soal dalaman dan luaran ummah tanpa terikat dengan mana-mana parti.

Kedua

Apabila kalangan bukan Islam jahil tentang Islam apabila mereka tidak menyedari bahawa Islam tertanam dalam jiwa penganutnya, mantap di dalam hati orang yang mengimaninya, dan setiap muslim bersedia mengorbankan jiwa dan harta mereka demi Islam, maka mereka tidak akan cuba menyentuh sensitiviti umat Islam dengan cara mengkritik nama Islam atau penampilan Islam.

Sebaliknya mereka akan cuba mengecilkan ruang lingkup Islam kepada ruang yang sempit dengan mengenepikan segala aspek yang mengandungi unsur kekuatan dan tindakan. Mereka akan membiarkan umat Islam hanya tinggal kulit, hanya tinggal nama, rupa dan penampilan yang tidak mampu berfungsi lagi. Mereka mengajar umat Islam bahawa Islam satu perkara dan sosial satu perkara. Islam lain, undang-undang lain. Islam lain dan masalah ekonomi satu perkara yang lain. Islam lain dan pengetahuan am adalah suatu perkara yang lain. Islam perlu diletakkan jauh daripada aspek politik.

Saudara,katakan kepada saya dengan nama Tuhan, jika Islam bukan politik, bukan sosial, bukan ekonomi dan bukan ilmu pengetahuan, jadi Islam ini apa ? Adakah Islam ini hanya rakaat-rakaat yang dilakukan dengan hati yang kosong atau hanya sekadar lafaz umpama kata-kata Rabiah al Adawiyah: “Istighfar yang memerlukan  kepada istighfar.” Saudara, adakah hanya kerana ini al Quran perlu turun membawa satu sistem yang lengkap, mantap dan terperinci ?

“Menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang Islam (an-Nahl :89) “

Apa yang dimahukan oleh musuh Islam ?

Nilai dan ruang lingkup Islam yang amat terhad inilah yang diinginkan oleh musuh Islam agar diamalkan oleh umat Islam. Mereka mahu mempermainkan umat Islam apabila mereka berkata kepada umat Islam, kami telah berikan kamu kebebasan beragama. Perlembagaan kamu juga telah mencatatkan bahawa agama rasmi negara adalah agama Islam.

Saudara,

di pentas ini ingin saya tegaskan bahawa Islam berbeza sama sekali dengan ertikata sempit yang cuba ditonjolkan oleh musuh Islam. Sebaliknya, Islam merangkumi akidah dan ibadah, negara dan bangsa, toleransi dan kuasa, akhlak dan material, pengetahuan dan undang-undang. Pegangan Islam yang ada pada seorang muslim menuntut dia mengambil berat masalah umat Islam. Orang yang tidak pernah mengambil berat masalah umat Islam tidak dianggap sebagai orang Islam.

Saya yakin, asas inilah yang difahami oleh generasi silam yang diredai Allah. Asas inilah yang menjadi panduan hukum mereka. Asas inilah yang menjadi landasan perjuangan mereka. Atas asas inilah mereka melakukan segala urusan mereka. Berpandukan asas inilah juga mereka jalankan segala urusan dunia mereka di samping urusan akhirat mereka. Semoga Alla merahmati khalifah pertama yang berkata : “Jika saya kehilangan seutas tali unta nescaya saya akan temuinya dalam kitab Allah. ”

Seorang Muslim yang sempurna

Setelah saya letakkan garis panduan am tentang Islam yang syumul dan politik yang terpisah daripada amalan kepartian, kini dengan tegas saya ingin nyatakan di sini bahawa seorang muslim tidak akan memiliki Islam yang sempurna kecuali apabila dia menjadi seorang ahli politik ; apabila dia meninjau segala masalah umatnya ; apabila dia mengambil berat tentang nasib mereka dan peka dengan segala masalah mereka. Saya juga ingin jelaskan di sini bahawa segala batasan dan pemisahan yang wujud kini adalah suatu yang tidak dapat diterima oleh Islam. Setiap pertubuhan Islam perlu meletakkan aspek politik umat Islam sebagai agenda utama mereka. Jika tidak, mereka perlu menilai semula fahaman mereka tentang Islam.

Saudara, izinkan saya berbicara lebih lanjut mengenai perkara ini yang kelihatan agak asing di kalangan pihak  yang sudah biasa mendengar suara-suara yang memisahkan antara Islam dan politik. Mudah-mudahan selepas kita meninggalkan majlis ini nanti tiada hadirin yang berkata : Jamaah Ikhwan Muslimin tekah menggadaikan prinsip mereka dan mereka telah menyimpang daripada indentiti asal mereka. Mereka kini adalah pertubuhan politik dan bukan lagi pertubuhan agama. Seterusnya masing-masing akan cuba memberikan pandangan masing-masing tenntang sebab berlakunya perubahan ini.

Saudara sekalian, Allah sememangnya tahu bahawa tidak pernah walau sehari pun Ikhwan bukan ahli politik dan tidak pernah walau sehari pun Ikhwan bukan orang Islam. Dakwah mereka tidak pernah memisahkan antara politk dan agama. Mereka juga tidak pernah dilihat sebagai ahli mana-mana parti walau sesaatpun.

“Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia, mereka berpaling daripadanya sambil berkata : Bagi kami amal kami dan bagi kamu pula amal kamu ; selamat tinggallah kamu; kami tidak ingin berdamping dengan orang yang jahil ” (al-Qasas : 55) 

Dakwah Bukan Milik Kita

tumblr_lrq0zdycuK1r19e2io1_1280

Ketika sedang berhenti di lampu trafik dalam perjalanan membayar bil di Bandar Seremban, sebuah kereta kancil cuba untuk mencelah masuk ke dalam barisan kereta, berhampiran saya. Saya perhatikan kereta tersebut, ada pelekat kereta Palestin di belakangnya, ‘mungkin al-akh’ getus hati saya. Kelihatan zaujahnya (saya sangka) bertudung labuh di sebelah, sayup-sayup pada mata saya. Saya terus memberi ruang untuk dia masuk apabila lampu telah hijau. Apabila dia sudah melepasi saya melihat kembali pelekat Palestin tadi, dia bukan al-akh dari organisasi saya. Di sepanjang perjalanan saya berfikir-fikir tentang ibrah daripada apa yang baru saya lalui tadi.

‘Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan serta berkata “Sungguh, aku termasuk orang-orang Muslim (yang berserah diri)”.’ [QS:41:33]

Dakwah ini milik siapa? Adakah dakwah ini milik golongan tertentu? Apakah ianya sesuatu yang hanya boleh dilakukan oleh golongan yang eksklusif? Dakwah yang merupakan seruan ini adalah daripada Allah dan akan kembali akhirnya kepada Allah jua. Maka, ia bukan milik sesiapa. Sesiapun tidak bisa menyatakan bahawa dakwah ini hanyalah milik dirinya, hanya dia yang layak mengerjakannya seterusnya menafikan kerja dakwah orang lain, apalagi melakukan dakwah untuk menyeru manusia kepadanya (menjadi pengikutnya).

Ketika di awal fasa menyertai organisasi dakwah, kita difahamkan bahawa seruan Islam ini bukan tanggungjawab yang digalas oleh golongan yang bergelar ‘ustaz’ dan ‘ulama’ semata-mata, maka dengan itu kita dibersihkan dari stigma yang hampir melumpuhkan ummah seluruhnya. Kemudian setelah berada bersama para pendukung dakwah, kita melihat bahawa dunia dakwah ini bukan satu benderanya, malah berjenis-jenis dan bermacam warna, pendukung dakwah ini bukan kita sahaja, bukan di Malaysia sahaja, malah bertebaran fikrah Ikhwanul Muslimin di seluruh pelusuk dunia. Namun, di situ punya cela.

Celanya pada kita yang tidak betah melihat orang lain melakukan kerja dakwah, kita berasa tidak senang apabila ramai orang mengikut seruan mereka. Walhal, dakwah ini (andai kita faham dan cerna) di akhirnya akan ditujukan kepada Allah jua, juga berapa ramai yang terlupa bahawa dakwah ini bukan hak milik eksklusif kita. Bayangkanlah dalam keadaan ummah terkeliru dan masih melekat pada stigma siapa yang berhak menyeru kepada Islam, kita yang berada dalam kelompok sedar yang kecil ini bertelingkah pula siapa yang berhak mengangkat panji dakwah. Apa untungnya untuk ummah? Apa manfaatnya untuk para mad’u?

Kalau saya mahu umpamakan, ummah ini adalah seperti sebuah kota yang di di kelilingi oleh benteng-benteng teguh lagi utuh. Dalam keadaan dan situasi kota ini dihunjam dan dijarah oleh musuh Allah yang sentiasa mencari titik kelemahan untuk menerobos memusnahkan kita, ummah di dalamnya telah bobrok dan rosak dengan parasit sosialisasi yang dihantar secara sulit oleh musuh Allah. Namun, mereka masih lagi boleh diselamatkan kerana adanya pengawal-pengawal benteng yang mengelilingi kota tersebut. para du’atlah yang mengawalnya. Andai para pengawal di pintu utara, timur, barat dan selatan bergaduh sesama mereka, maka nantikanlah keruntuhan benteng ini, seterusnya membenarkan para penjarah menerobos dan membunuh anak-anak kecil dan para wanita kita.

Kitalah pelindung ummah ini, kitalah pembela ummah ini, kitalah harapan ummah ini. Di sebalik mereka tidak menyedari bahaya yang meragut jiwa mereka serta tidak melihat kita sebagai penyelamat, kitalah para du’at yang menjadi jata maruah kepada ummah. Kepelbagaian warna dan bentuk bendera dakwah kita tidak sepatutnya menjadikan kita musuh antara satu sama lain, kerana di sebalik kibaran bendera itu, kita masih saudara seaqidah yang ingin memimpin ummah kepada Allah.

Saya erti ada komplikasi dan isu yang terselit di sebalik cela ini, ia dikomplekskan dengan pelbagai masalah yang berselirat membawakan kita kepada sesuatu yang membawa mudharat seperti ini. Di sebalik semuanya ini, kita perlu mengerti bahawa ada maslahah ‘ammah yang perlu diberi perhatian kerana ia akan memberi impak besar kepada ummah. Ummah tidak akan nampak hal ini kerana kebanyakan daripada mereka sedang tidur. Berapa banyak pula ummah yang inginkan Islam tetapi ditipu oleh penggerak-penggerak dakyah sesat akhirnya kecundang?

Usahlah kita menzalimi diri dan saudara du’at kita, bergeraklah kita masing-masing di medan sendiri dan raikanlah para ikhwan dan akhwat kita yang sama-sama bergerak tanpa menafikan mereka. Berhentilah mencaci dan mengadu domba tanpa kebenaran. Jujurnya saya penat mendengar cerita-cerita seperti ini, yang tiada asasnya, yang tidak jelas beritanya, yang hanya mengeruhkan hubungan sesama ikhwah. Cukuplah, kurangkan berkata-kata, perbanyakkan kerja kita, pembaikpulihan ummah ini banyak memerlukan perih jerih dan usaha kita.

Ya, saya tahu, faham dan sedar, bercakap memang mudah daripada membuatnya, namun membuatnya meskipun dalam penuh kesukaran adalah bukti kesetiaan kita kepada tarbiyyah dan fikrah yang kita yakini. Dakwah bukan milik kita, bukan hak milik eksklusif kita.

Emir Abu Khalil
Graduan Macquarie University
Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL