Ikhwan Muslimin dan Politik

Freedom and justice

Dipetik daripada Majmu’ Rasail selepas dihurai ringkas oleh Dr Taufiq Yusf Waiy (Seorang tokoh Ikhwan) ;

Ikhwan berkeyakinan bahawa gagasan politik Islam merupakan personaliti agama ini. Ia diturunkan untuk mengatur perjalanan kehidupan manusia berdasarkan syariat Allah. Ia juga bertujuan memandu manusia kepada kebaikan dan jalan yang lurus. Sejajar dengan tujuan tersebut, dakwah Ikhwan Muslimin bangun untuk mengembalikan manusia kepada kefahaman yang tepat terhadap Islam yang syumul. Juga untuk menghubungkan mereka dengan dakwah pertama dan sumber yang suci murni agama ini.

Lantaran itu, dakwah mestilah beredar sejajar dengan putaran dan peredaran Islam. Ia hendaklah dipandu dengan syariat. Ia tidak menghiraukan slogan sebaliknya intipati sebenar gagasannya. Jika memandu manusia dengan Islam dan mengurus urusan manusia dinamakan politik, maka kitalah orang yang paling unggul dalam politik. Jika tugas memberi khidmat nasihat kepada ummat tentang kemaslahatan mereka, dalaman dan luaran pada hari ini dijalankan melalui proses perwakilan, maka kitalah pihak peratama yang perlu diminta pandangan.

Kita dan Politik (Dipetik daripada kata-kata Imam Hassan Al Banna dalam muktamar ke 6)

Ada sesetengah pihak yang mempersoalkan : Apa kena mengena Ikhwan dengan Parlimen ? Ikhwan adalah pertubuhan agama sedangkan parlimen adalah ruang untuk badan politik. Bukankah betul apa yang dikatakan oleh orang ramai bahawa Ikhwan Muslimin adalah pertubuhan politik ? Mereka bukan mengajak manusia kepada Islam sahaja, seperti yang mereka dakwa.

Dengan berterus terang dan jelas saya menjawab segala persoalan ini : Saudara, jika ada yang mengatakan kita pertubuhan politik dengan maksud pertubuhan politik kepartian dan amalan kami ialah menyokong parti tertentu dan menentang parti yang lain, bukan ini sifat kami dan kami tidak akan sama sekali bertindak sedemikian. Tiada siapapun yang dapat membuktikan tuduhan ini.

Jika kami dikatakan sebagai pertubuhan politik atas dasar kami mengambil berat soal umat Islam ini, atau kerana kami berfahaman bahawa kuasa eksekutif merupakan sebahagian ajaran Islam dan tertakluk kepada hukum hakamnya, atau kerana kami mempercayai kemerdekaan politik dan maruah bangsa adalah sebahagian rukun atau fardhu Islam, atau kerana kami bekerja dengan penuh gigih untuk memperolehi kemerdekaan mutlak dan memulihkan jentera pentadbiran, maka memang benar itulah kami. Kami yakin kami bukan membawa perkara yang baru. Apa yang diperkatakan ini difahami oleh setiap orang Islam yang benar-benar mempelajari Islam.

Kata Imam As Syahid lagi,

Jarang sekali anda bertemu dengan seseorang yang tidak memisahkan antara politik dan Islam apabila dia memperkatakannya. Kedua-dua perkara ini akan diletakkan di tempat berasingan. Bagi sesetengah masyarakat, kedua-dua perkara ini tidak boleh bersama. Oleh kerana itu dinamakan sesebuah pertubuhan sebagai pertubuhan Islam dan bukannya pertubuhan politik atau perhimpunan ini satu perhimpunan agama bukan perhimpunan politik. Anda juga boleh lihat perlembagaan pertubuhan-pertubuhan Islam ada mencatatkan ; “Pertubuhan ini tidak terlibat dengan soal politik ”

Sebelum saya bincangkan perkara ini dengan lebih mendalam, ingin saya bawa saudara melihat dua perkara penting :

Pertama (Beza antara politik dan politik kepartian)

Wujud perbezaan antara amalan “kepartian” dan “politik”. Adakala kedua aspek ini seiringan dan adakalanya tidak. Adakala seorang lelaki itu berpolitik dengan ertikata yang sebenar tetapi dia bukan ahli daripada mana-mana parti. Adakalanya seorang lelaki itu menjadi ahli parti tetapi dia tidak tahu menahu soal politik. Mungkin ada yang mengabungkan kedua-duanya sekali. Dengan itu dia menjadi ahli politik yang berparti atau ahli parti yang berpolitik. Apabila saya berbicara tentang politik, saya merujuk kepada ertikata politik yang mutlak iaitu mengambil berat soal dalaman dan luaran ummah tanpa terikat dengan mana-mana parti.

Kedua

Apabila kalangan bukan Islam jahil tentang Islam apabila mereka tidak menyedari bahawa Islam tertanam dalam jiwa penganutnya, mantap di dalam hati orang yang mengimaninya, dan setiap muslim bersedia mengorbankan jiwa dan harta mereka demi Islam, maka mereka tidak akan cuba menyentuh sensitiviti umat Islam dengan cara mengkritik nama Islam atau penampilan Islam.

Sebaliknya mereka akan cuba mengecilkan ruang lingkup Islam kepada ruang yang sempit dengan mengenepikan segala aspek yang mengandungi unsur kekuatan dan tindakan. Mereka akan membiarkan umat Islam hanya tinggal kulit, hanya tinggal nama, rupa dan penampilan yang tidak mampu berfungsi lagi. Mereka mengajar umat Islam bahawa Islam satu perkara dan sosial satu perkara. Islam lain, undang-undang lain. Islam lain dan masalah ekonomi satu perkara yang lain. Islam lain dan pengetahuan am adalah suatu perkara yang lain. Islam perlu diletakkan jauh daripada aspek politik.

Saudara,katakan kepada saya dengan nama Tuhan, jika Islam bukan politik, bukan sosial, bukan ekonomi dan bukan ilmu pengetahuan, jadi Islam ini apa ? Adakah Islam ini hanya rakaat-rakaat yang dilakukan dengan hati yang kosong atau hanya sekadar lafaz umpama kata-kata Rabiah al Adawiyah: “Istighfar yang memerlukan  kepada istighfar.” Saudara, adakah hanya kerana ini al Quran perlu turun membawa satu sistem yang lengkap, mantap dan terperinci ?

“Menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang Islam (an-Nahl :89) “

Apa yang dimahukan oleh musuh Islam ?

Nilai dan ruang lingkup Islam yang amat terhad inilah yang diinginkan oleh musuh Islam agar diamalkan oleh umat Islam. Mereka mahu mempermainkan umat Islam apabila mereka berkata kepada umat Islam, kami telah berikan kamu kebebasan beragama. Perlembagaan kamu juga telah mencatatkan bahawa agama rasmi negara adalah agama Islam.

Saudara,

di pentas ini ingin saya tegaskan bahawa Islam berbeza sama sekali dengan ertikata sempit yang cuba ditonjolkan oleh musuh Islam. Sebaliknya, Islam merangkumi akidah dan ibadah, negara dan bangsa, toleransi dan kuasa, akhlak dan material, pengetahuan dan undang-undang. Pegangan Islam yang ada pada seorang muslim menuntut dia mengambil berat masalah umat Islam. Orang yang tidak pernah mengambil berat masalah umat Islam tidak dianggap sebagai orang Islam.

Saya yakin, asas inilah yang difahami oleh generasi silam yang diredai Allah. Asas inilah yang menjadi panduan hukum mereka. Asas inilah yang menjadi landasan perjuangan mereka. Atas asas inilah mereka melakukan segala urusan mereka. Berpandukan asas inilah juga mereka jalankan segala urusan dunia mereka di samping urusan akhirat mereka. Semoga Alla merahmati khalifah pertama yang berkata : “Jika saya kehilangan seutas tali unta nescaya saya akan temuinya dalam kitab Allah. ”

Seorang Muslim yang sempurna

Setelah saya letakkan garis panduan am tentang Islam yang syumul dan politik yang terpisah daripada amalan kepartian, kini dengan tegas saya ingin nyatakan di sini bahawa seorang muslim tidak akan memiliki Islam yang sempurna kecuali apabila dia menjadi seorang ahli politik ; apabila dia meninjau segala masalah umatnya ; apabila dia mengambil berat tentang nasib mereka dan peka dengan segala masalah mereka. Saya juga ingin jelaskan di sini bahawa segala batasan dan pemisahan yang wujud kini adalah suatu yang tidak dapat diterima oleh Islam. Setiap pertubuhan Islam perlu meletakkan aspek politik umat Islam sebagai agenda utama mereka. Jika tidak, mereka perlu menilai semula fahaman mereka tentang Islam.

Saudara, izinkan saya berbicara lebih lanjut mengenai perkara ini yang kelihatan agak asing di kalangan pihak  yang sudah biasa mendengar suara-suara yang memisahkan antara Islam dan politik. Mudah-mudahan selepas kita meninggalkan majlis ini nanti tiada hadirin yang berkata : Jamaah Ikhwan Muslimin tekah menggadaikan prinsip mereka dan mereka telah menyimpang daripada indentiti asal mereka. Mereka kini adalah pertubuhan politik dan bukan lagi pertubuhan agama. Seterusnya masing-masing akan cuba memberikan pandangan masing-masing tenntang sebab berlakunya perubahan ini.

Saudara sekalian, Allah sememangnya tahu bahawa tidak pernah walau sehari pun Ikhwan bukan ahli politik dan tidak pernah walau sehari pun Ikhwan bukan orang Islam. Dakwah mereka tidak pernah memisahkan antara politk dan agama. Mereka juga tidak pernah dilihat sebagai ahli mana-mana parti walau sesaatpun.

“Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia, mereka berpaling daripadanya sambil berkata : Bagi kami amal kami dan bagi kamu pula amal kamu ; selamat tinggallah kamu; kami tidak ingin berdamping dengan orang yang jahil ” (al-Qasas : 55) 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s