Politik Kartun

Kartun harakah Fitnah

Sebagai seorang dewasa yang pernah merasai usia kecil, saya membesar dengan cerita-cerita kartun “legendary” sepanjang zaman seperti “Naruto”, “Street Fighter”, “Dragon Ball Z” dan lain-lain. Tidak terlepas, saya juga membesar dengan cerita-cerita politik tanah air yang tidak pernah kunjung reda. Dari zaman reformasi, zaman Islam hadhari hinggalah kepada zaman 1 Malaysia. Slogan kerap kali berubah, aktor utamanya tetap sama.

Aktor utama ?

Sesuatu yang menarik jika dikaji dan ditelusuri. Ada satu persamaan antara cerita kartun yang saya lihat sedari kecil dengan cekerama politik tanah air. Iya, aktor utama ! Jika cerita Naruto didominasi oleh dua watak utama ; di mana mereka memainkan peranan watak protagonis (Naruto) dan antagonis (Sasuke), dunia politik tanah air juga dimainkan oleh dua watak utama ini.

Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad. Seperti cerita Naruto, plot persahabatan mereka sama. Namun sehingga kini, saya masih kabur mana satu watak protagonis dan mana satu watak antagonis. Kalanya satu dilihat lebih dominan memegang satu watak, dan kalanya dilihat yang satu lagi dominan menjadi satu watak.

Kabur.

Saya risau, jika umur saya masih panjang dan ditakdirkan satu hari nanti saya menjadi tukang cerita kepada anak-anak cucu saya, apa yang saya mahu ceritakan ?

Saya risau persengketaan politik yang menjadi-menjadi ini diteruskan sehingga salah seorang mati dan salah seorang beroleh tampuk kuasa. Seolah-olah tiada istilah “sit down” dan “politik damai”. Kenapa selamanya perlu sengketa ? Sedangkan kita diikatkan dengan ikatan akidah, bukan sebarang ikatan !

Agama kita sama, syahadah kita serupa. Tapi mengapa mesti berpecah?

Buat generasi muda, mari kita sambut seruan ini. Jika bukan generasi mereka, jangan larutkan hingga ke generasi kita. Semoga politik yang bakal kita bina nanti adalah politik damai yang penuh dengan keharmonian. Politik hujah yang dipenuhi dengan fakta bukan auta.

InsyaAllah, kita mampu merubahnya.

Cukup-cukuplah dengan politik sengketa !

Wallahualam

Asyraf Farique

Advertisements

Hubung Kait As Siyāsah As Sharʿiyyah (Politik Islam) dengan Hukum Syarak

tumblr_lffoqvjI841qet85to1_500

Ada sesetengah pandangan yang mengatakan idea asasi bagi ilmu As Siyāsah As Sharʿiyyah (Politik Islam) ialah idea ‘Good Governance‘, atau urus tadbir yang baik semata-mata.

Dr Naseebah Mustafa Al-Bugha, di dalam kesimpulan kajian akademiknya, menegaskan bahawa sangkaan sesetengah pihak tentang tiadanya kaitan antaraThawābit As Sharʿiyyah (perkara tetap di dalam syarak) dengan urus tadbir yang baik (good governance) adalah sangkaan yang silap.

Berikut ialah sebahagian daripada noktah-noktah yang digariskan oleh Dr Naseebah Mustafa di dalam penulisannya:

  1. As Siyāsah As Sharʿiyyah tidak secara mutlak bebas daripada sebarang syarat dan garis panduan (menurut syarak), bahkan ia memiliki syarat-syarat dan garis panduan yang terperinci.
  2. As Siyāsah As Sharʿiyyah hanya layak digelar sedemikian jika ia dipraktiskan oleh seseorang pemerintah yang mempunyai keupayaan ijtihad (menurut syarak), atau daripada agensi/badan yang menurut citarasa syarak yang dilantik oleh pemerintah tersebut.
  3. As Siyāsah As Sharʿiyyah terbit daripada dalil-dalil syarak yang furu’(cabang), yang ditunjukkan oleh dalil-dalil syarak yang usul (pokok).
  4. Hukum asal di dalam As Siyāsah As Sharʿiyyah ialah memelihara kesan/akibat (Ma’ālāt) tindakan, dan memelihara tujuan-tujuan (Maqāṣid) syarak.
  5. As Siyāsah As Sharʿiyyah mempunyai syarat-syarat, yang jika tidak dipenuhi ia sama sekali tidak layak memakai label Sharʿiyyah (menurut syarak).
  6. Jika pemerintah memutuskan sesuatu yang mematuhi As Siyāsah As Sharʿiyyah, maka rakyat harus berpegang kepadanya secara agama dan undang-undang (keputusannya menjadi keputusan undang-undang dan keputusan syarak).
  7. Di sana terdapat beberapa Thawābit (perkara tetap) di dalam syarak yang tidak mungkin sesiapa pun membelakanginya walau dengan apa alasan sekalipun. Bukanlah kerana ia bersifat muqaddasah (suci/sakral) semata-mata, tetapi kerana ianya dibentuk untuk kesesuaian sifat kemanusiaan seorang insan yang tidak mungkin berkembang dan berubah. Manusia pada tabiatnya akan kekal sebagai seorang manusia sejak dari mula penciptaannya oleh Allah sehinggalah ke penghujung zaman. Oleh yang demikian, ʿIbādāt, asas Muʿāmalāt, serta perkara asasi berkaitan moral/akhlak, adalah perkara yang tetap dan tidak berubah, serta tidak dikesani sebarang perkara kecuali rukhsah-rukhsah yang sudah ditetapkan syarak.
  8. Setiap hukum yang telah dijelaskan oleh Penetap Syarak (Allah) dari apa sekalipun sudut, berdasarkan dalil-dalil yang Qaṫʿiy (muktamad), adalah hukum yang tidak boleh terkesan dengan As Siyāsah As Sharʿiyyah.
  9. Setiap hukum yang dinisbahkan kepada apa-apa ʿillah (sebab) yang tertentu, hukum ini berubah bergantung kepada ʿillahnya. Dan Ijtihad pada mana-mana hukum bergantung kepada kewujudan atau ketiadaan ʿillah ini (samada perlu Ijtihad atau tidak).
  10. Perkara yang wajib secara Qaṫʿiy (muktamad) penetapannya, samada ianya terhad (muhaddad), bertempoh (muaqqat), atau tertentu (muʿayyan/ʿain), tidak boleh terkesan dengan As Siyāsah As Sharʿiyyah (samada untuk diubah atau diringankan). Yang boleh mengubah atau meringankannya hanyalah Rukhṣah (keringanan) yang disebutkan oleh syarak sahaja.
(Dipetik daripada buku As Siyāsah As Sharʿiyyah Wa Atharuhā Fi Al Ḥukm As Sharʿiy At Taklīfī (Dar An-Nawadir, 2012) karangan Dr Naseebah Mustafa Al-Bugha)
Ust Syed Ahmad Israa’

Fikrah Perubahan

i tarbiyah

Memahami dan mendalami sesuatu fikrah perubahan itu pun memakan masa yang panjang dan usaha yang tidak terkira.

Apatah lagi untuk hidup dengannya, dan istiqamah di atasnya.

Apatah lagi untuk mengumpul manusia bersama-sama memahaminya dan bergerak mendokongnya.

Apatah lagi untuk mendidik keluarga dan generasi kita dalam memikul fikrah yang sama.

Apatah lagi untuk menjadikan masyarakat mampu menerima, menyokong atau paling kurang tidak menentangnya.

Apatah lagi untuk memenangkannya ke atas jahiliyyah yang telah lama menggari jatidiri umat Islam hingga menjadi lemah longlai terhadap ancaman-ancaman kuasa-kuasa dunia.

… dan banyak lagi apatah-apatah yang terus menerus dalam benak fikiran kita, para pembawa risalah dan penggerak menuju perubahan yang didambakan yang hasilnya mungkin memakan umur beberapa generasi.

Apa kita peduli, tempoh itu bukan urusan kita, bahkan kita hanya dituntut untuk menunaikan tuntutan perhambaan dalam menegakkan agama di bumi Tuhan.

Namun, bagi mereka yang hanya menganggap dunia akan berubah dan Islam akan memerintah hanya semata-mata dengan kempen pilihanraya, atau status facebook, atau debat ilmiah, atau cyber troopers yang di-assigned, atau ceramah-ceramah yang hanya menjurus kepada ‘undi’, maka ketahuilah … dia sebenarnya sedang bermain-main dalam ‘ibadah’ politiknya.

Bak kata Abdullah bin Al-Mubarak kepada Fudhayl bin Iyadh ;

“Wahai ‘abid dua tanah haram, sekiranya engkau melihat usaha kerja kami, sudah pasti engkau akan mengetahui bahawasanya … engkau sedang bermain-main di dalam ibadahmu”

Maka saya cuba olah kembali bait syair itu agar sesuai dengan realiti semasa kini,

“Wahai ‘abid dalam medan politik, sekiranya engkau melihat titik peluh kami dalam membina gagasan perubahan Islam, dan mempertahankan jatidiri umat ini .. pastinya engkau akan mengetahui bahawasanya .. engkau hanya bermain-main dalam ibadah politikmu”

Ust Syamil Esa

Perisai politik

8389948650_d9854b1088_z

Bilamana sebuah badan dakwah menceburkan diri dalam amal politik, tidak dapat tidak, para ahlinya akan terpalit dengan “jahiliyah-jahiliyah” yang telah sedia ada terkandung dalam politik.

Walaupun begitu, ini tidak bermakna para ahlinya harus menjauhkan diri daripada politik yang sering didescribekan sebagai a dirty game.

Sesuatu harus dilakukan untuk mengislamisasikan politik, dan para petugas amal islami harus memikul tanggungjawab ini dengan menjadi ” front line ”

Justeru, agar para petugas amal islami ini tidak turut sama terpalit dengan noda jahiliyah masyarakat politik, beliau (Syed Qutb) mengetengahkan konsep “uzlah Syu’uriyah”

Pengertian uzlah yg dimaksudkan ialah, pengasingan jiwa dpd turut dikotori atau dijangkiti noda-noda masyarakat jahiliyah dengan ;

1) Menjadi seorang yang punya qudwah.
2) Menunjukkan akhlak yg baik
3) Terus merasai ketinggian iman

Uzlah yg dimaksudkan juga adalah perbezaan.

1)Perbezaan antara golongan yg beriman dan kufur.
2)Perbezaan dari sudut pemikiran dan pandangan
3)Perbezaan dari sudut akhlak dan perlakuan.

Akhir kata, sempat Syed Qutb berpesan supaya para petugas amal islami terus berkorban, terus berjihad tanpa takut kepada celaan org-org yang suka mencela.

“Jangan seseorang dari kamu menjadi org yg tidak punya pendirian dgn berkata “Aku bersama org ramai, jika sekiranya mereka berbuat baik aku pun berbuat baik, jika mereka melakukan kejahatan aku pun turut melakukan kejahatan …… Tetapi hendaklah kamu menetapkan pendirian kamu ” hingga akhir hadis, riwayat tarmidzi

Wallahualam.

Asyraf Farique