Pemuda dan aktivisme

ABS 8

Sebagai seorang anak muda, kadangkala, kita ini terlalu bersemangat dan gelojoh dalam beraktivisme. Mahu baca buku ini, mahu baca buku itu, mahu pergi ke sini, mahu pergi ke situ. Mahu jadi ini, mahu jadi itu. Adakalanya, bila tiba satu limit, kita rasa letih, terlalu letih, hingga meninggalkan semuanya.

Kenapa ?

Seorang Ustaz yang saya sangat hormati pernah berpesan. Tapakilah jalan dakwah ini dengan ilmu dan kesedaran bukan hanya sekadar semangat dan sentimen semata.

Bergerak atas faktor ilmu , tidak sama dengan bergerak atas faktor semangat. Bila anda bergerak atas faktor ilmu, kesedaran akan muncul. Dan bila kesedaran telah muncul, Ia akan mulai meresap masuk ke dalam sanubari dan seterusnya melahirkan satu jiwa sedar penuh bersemangat.

Dari satu jiwa sedar penuh bersemangat inilah akan lahirnya, seorang perwira muda yang tegar untuk berkorban dan berjuang atas jalan yang diyakininya. Dia bergerak tanpa mengira susah mahupun senang, hujan mahupun panas dan sihat mahupun sakit. Dia juga, tidak hanya bergerak bila semangatnya sedang memuncak, tetapi juga bila semangatnya mulai reda dan menurun. Dia istiqamah dalam bergerak dan berjuang kerana dia punyai ilmu.

Kenapa perlu tahu semua ini ?

Supaya kita tahu, atas sebab apa kita bergerak ? Atas sebab ilmu atau sebab semangat semata. Kerana semangat dan sentimen yang membuta tuli bakal mematikan kita di jalan ini.

Pastinya adalah satu kerugian, jika tenaga anak muda ini kehabisan di pertengahan jalan. Sedangkan ummat, masih memerlukan tenaganya.

Wallahualam

p/s : Adapun, kita tidak nafikan fitrah manusia. Turun naiknya semangat itu biasa. Soalnya, bagaimana kita untuk mendepaninya ?

Asyraf Farique

Generasi Pemuda dan Perubahan

inikalilah (1)

Fathy Yakan di dalam tulisannya, “Generasi Pemuda dan Perubahan” menghuraikan dengan jelas saya kira maksud sebenar perubahan yang dimahukan dalam Islam. Dia memulakan intro dengan cukup cantik. Apabila membawa pembaca mengenal apa itu perubahan dan apa itu “revolusi”

Katanya

“Perubahan merupakan cogankata yang kerap dikemukakan pada masa mutakhir ini oleh pihak- pihak yang menggelarkan diri mereka sebagai Aliran Revolusi. Marxisme adalah merupakan aliran yang paling menonjol sekali mempercayai bahawa perubahan itu mesti berlaku secara kekerasan. Marx secara terang-terangan telah mengemukakan pandangannya terhadap cara (uslub) yang seharusnya diambil oleh gerakan Komunis dalam melakukan perubahan sosial dan mengubah Kapitalisme.

Katanya: “Tidak ada jalan bagi menggantikan Kapitalisme dengan Sosialisme kecuali dengan revolusi.”

Lalu, adakah revolusi dibenarkan dalam Islam ? Iya, dibenarkan ! Jika iyanya menepati ciri-ciri perubahan di bawah !

CIRI-CIRI PERUBAHAN DALAM ISLAM

Perubahan Islam mempunyai ciri-ciri aqidah dan akhlak yang berbeza dari aliran- aliran perubahan lain di dunia.

Tidak pernah mereka yang telah menghirup dan mengecapi Islam, kemudian enggan dan menolaknya, kerana Islam mempunyai keunggulannya yang tersendiri dalam konsep pemikiran, ‘manhaj’ haraki dan ‘uslub’ perubahan.

Antara ciri-cirinya:

i) Perubahan Menyeluruh

-Perubahan yang syumul dan kulli. Menyeluruh. Bukan sekerat-sekerat. (Berbeza dengan berperingkat)

-Perubahan Islam bukanlah suatu fenomena politik bagi sebuah negara.

-Ia bukanlah merupakan nas dalam perlembagaan di sebuah negara yang menyatakan agama rasminya ialah agama Islam atau ketua negaranya semesti seorang yang beragama Islam.

-Unik dari segi method (uslub)

-Perubahan dengan sistem yang berpogram/tersusun, bukan dengan cara ketenteraan utk mendapatkan kuasa secepat kilat.

– Perubahan dalam Islam adalah perubahan yang bermula daripada pembinaan sendi-sendi, supaya menjadi “support system” kpd masyarakat utk bangun

-Perubahan dalam Islam bukanlah perubahan yang menempel. Melarang sebahagian yang haram, pada masa yang sama, membenarkan juga sebahagian yang haram.

ii) Perubahan Aqidah

-Aqidah Islam menentukan tabiat dan manhaj perubahan

-Berdasarkan dua aspek berikut
=Betul tujuan/wasilah
=Terjamin tepatnya dari segi syara’ serta bersesuaian dengan ruh Islam, sebagaimana terpeliharanya juga perubahan Islam itu dari melanggar kaedah- kaedah syara’.

– Ini kerana, Islam melihat perubahan itu bukan sahaja dari segi tujuan ttp juga dari segi jalan utk menegakkan perintah Allah dan melaksanakan hukumanNya. Apabila perubahan itu tidak mencapai tujuan, ianya boleh membawa akibat buruk kepada Islam itu sendiri.

ii) Perubahan berprikemanusiaan (penuh akhlak, bukan dendam)

-Ertinya, ia tidak akan menuju kepada kebaikan dengan melalui jalan keburukan, dan menghirup kehinaan untuk sampai ke mercu kebahagiaan. Atau ia tidak membina bangunan di atas tengkorak dan darah.

-Walaupun Tacashoft, seorang pemimpin agung Komunis telah memberikan amaran untuk menghapuskan semua orang-orang Rusia yang melewati usia dua puluh lima tahun kerana mereka tidak mahu mewakili pemikiran Marx, namun Islam menunjukkan sifat-sifat rahmat dan berperikemanusiaan dalam banyak peristiwa dan kejadian.

–Dalam Perubahan Islam, tidak tergambar hukuman gantung atau hukuman bunuh sebilangan kecil atau sebilangan besar mereka yang menyeleweng samada dari segi politik mahupun akhlak.

– Jelaslah bahawa perubahan dalam Islam mempunyai ciri-ciri berperikemanusiaan; tabiatnya berakhlak dan akidah Islamiah ialah wasilah serta matlamatnya.

Bentuk manhaj Bagi Persediaan Pemuda Islam

Ia wajiblah mengandungi tiga perkara pokok:

1   Persediaan di segi pemikiran.

2-  Persediaan di segi kejiwaan.

3-  Persediaan di segi haraki (Pergerakan).

 

1- Persediaan di segi Pemikiran

Yang kita maksudkan adalah membentuk aqliyah Islamiyyah (berfikir secara Islam) bagi pemuda-pemuda Islam. Apakah ‘thaqafah’ (pengetahuan) yang diperlukan?

Bagi pemuda Islam, supaya membolehkan mereka bangun menunaikan tanggungjawab yang berat itu, mereka memerlukan pemikiran yang sempurna, iaitu:

A) “Thaqafah Islamiyyah (pengetahuan Islam) iaitu wajib mereka dipersenjatai dengan pengetahuanIslam,dimana pengetahuan yang asli murn iterpusat pada usul-dasar dankaedah. Ia diperlukan awal-awal lagi untuk membina kehidupan di atasnya; dan juga sebagai alat untuk menarik orang lain kepadanya. Sesungguhnya orang yang tidak memiliki sesuatu itu tidak mampu memberi.

Bagi membentuk thaqafah Islamiyyah ini semestinya dipelajari ilmu-ilmu berikut: Al-Quran dan tafsirnya, as-Sunnah dan ulumnya, as- Sirah an-Nabawiyah, kehidupan para sahabat, fiqh dan usul fiqh, ilmu Aqidah, ilmu Tazkiyah, dan sistem-sistem Islam. “Barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan padanya dia difahamkan agama kepadanya.”

B) Thaqafah Ammah (Pengetahuan Umum) iaitu pemuda-pemuda Islam memerlukan pengetahuan, ilmu dan pemikiran lain bagi membolehkannya mengkritik dan menghadapi mana-mana penyelewengan. Benarlah sabda Rasulullah saw dalam hadis-hadis:

‘Sesiapa yang mempelajari bahasa sesuatu kaum itu ia aman dari tipuan mereka.’ ‘Ambillah hikmah itu walau vdari bekas manapun ia keluar.’

2-Persediaan di segi kejiwaan.

Bagi membentuk thaqafah umum maka mestilah dipelajari: Pengetahuan tentang kemanusiaan, sains, pengetahuan teatang realiti dan sejarah.

Apa yang kita maksudkan ialah pembentukan kejiwaan secara Islam bagi pemuda Islam. Kejiwaan Islam itu ialah kejiwaan yang menggunakan naluri dan kecenderungan mengikut hukum syara’, kejiwaan yang mendapatkan fatwa Islam dan berpegang teguhdengan fatwa itu. Maka ia tidak dikuasai oleh hawa nafsu atau dipimpin oleh syahwat atau oleh kepentingan.

Persediaan kejiwaan ini samalah pentingnya dengan merialisasikan persediaan pemikiran dan mengamalkan aqliyah Islamiyyah itu.

Persediaan kejiwaan ialah menjinakkan jiwa untuk terikat dengan syarak dalam memenuhi kehendak dan kemahuan. Ini boleh dicapai dengan memahami hukum syarak bagi had-had pemenuhan itu. Kemudian menjinakkan jiwa untuk menunaikan tanggungjawab ibadah dan tarbawiyah (pendidikan tarbiah).

Persediaan kejiwaan merupakan tulang belakang kepada manhaj tarbiyyah. Ianya merupakan hati yang berdegup dan dinamo yang menggerakkan segala enjinnya.

Di sini wajiblah bagi mereka yang bertanggungjawab memberi tarbiah kepada pemuda-pemuda untuk mengetahui bahawa persediaan kejiwaan ini ialah sebagai batu asas dalam pembinaan sahsiah Islamiyyah.

Pemuda Islam pula hendaklah memahami bahawa perhatian berat hendaklah diberi kepada Tazkiatan-Nafsi (membersihkan diri). Ianya hendaklah lebih dari segi lain. Kalaulah akal dan jasad memerlukan makanan seperlunya untuk menjalankan peranan secara sempurna, begitulah juga dengan jiwa dan hati, hendaklah diberikan makanan kerana dengan jiwa ia beriman dan dengan hati ia menjadi rabbani.

Oleh itu bagi pemuda Islam, sejauh manapun pengetahuan yang ada padanya tidaklah terjamin selagi pembentukannya tidak rabbani, kerana tanpa rabbani, ilmu pengetahuan tidak akan dapat diasas kan ke atas taqwa dan keredhaan Allah swt.

Dari sini dapatlah kita fahamkan beberapa kali tentang nilai hati yang disebutkan oleh Al-Quran dan sunnah apabila berbicara tentang manusia. Allah swt berfirman:

50:37 “Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang- orang yang mempunyai hati atau akal atau yang menggunakan pendengarannya”.

26.88-89 “Pada hari yang tidak lagi bermanfaat harta dan anak kecuali mereka yang datang menghadap tuhan dengan hati yang sejahtera”.

58.22 “Tidak kamu dapat suatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul Nya, walaupun mereka itu bapa- bapa mereka, anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka atau kaum kerabat mereka. Mereka itu orang-orang yang Allah telah menanamkan keimanan di hati mereka keimanan dan disokong pula dengan ruh dariNya”.

Dalam sunnah, sabda Rasulullah saw:

Manusia itu kedua matanya ialah penunjuk, kedua telinganya menahan (daripada maksiat), lidahnya jurucakap, kedua tangannya sayap, dua kakinya tunggangan. Hatinya raja, apabila raja baik, baiklah tenteranya.’ 

Kesimpulan

Ringkasnya, bahawa pemuda Islam diajak ke arah melakukan TAGHYIR ISLAMI (Perubahan secara Islam) dalam dirinya sebelum ia diajak ke arah mengubah masyarakatnya. Benarlah pula kata-kata Ali Bin Abi Talib bila ia mengatakan:

‘Sesiapa yang dilantik menjadi pemimpin manusia, hendaklah ia mula dengan mengajar dirinya sendiri sebelum mengajar orang lain. Hendaklah ia mengajar dengan cara perjalanan hidup sebelum mengajar dengan lidah. Orang yang dapat mengajar dan melatih diri sendiri itu lebih layak dihormati dari mereka yang mengajar orang ramai.

Mereka yang sebenarnya mencapai kemenangan hakiki dalam medan perjuangan TAGHYIR ialah mereka yang mendapat keuntungan diri mereka walaupun pada lahirnya mereka rugi di dunia. Orang yang mendapat kerugian hakiki ialah mereka yang kalah dalam diri mereka walaupun mereka lahirnya mendapat keuntungan dunia.

Wallahualam

Politik Kartun

Kartun harakah Fitnah

Sebagai seorang dewasa yang pernah merasai usia kecil, saya membesar dengan cerita-cerita kartun “legendary” sepanjang zaman seperti “Naruto”, “Street Fighter”, “Dragon Ball Z” dan lain-lain. Tidak terlepas, saya juga membesar dengan cerita-cerita politik tanah air yang tidak pernah kunjung reda. Dari zaman reformasi, zaman Islam hadhari hinggalah kepada zaman 1 Malaysia. Slogan kerap kali berubah, aktor utamanya tetap sama.

Aktor utama ?

Sesuatu yang menarik jika dikaji dan ditelusuri. Ada satu persamaan antara cerita kartun yang saya lihat sedari kecil dengan cekerama politik tanah air. Iya, aktor utama ! Jika cerita Naruto didominasi oleh dua watak utama ; di mana mereka memainkan peranan watak protagonis (Naruto) dan antagonis (Sasuke), dunia politik tanah air juga dimainkan oleh dua watak utama ini.

Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad. Seperti cerita Naruto, plot persahabatan mereka sama. Namun sehingga kini, saya masih kabur mana satu watak protagonis dan mana satu watak antagonis. Kalanya satu dilihat lebih dominan memegang satu watak, dan kalanya dilihat yang satu lagi dominan menjadi satu watak.

Kabur.

Saya risau, jika umur saya masih panjang dan ditakdirkan satu hari nanti saya menjadi tukang cerita kepada anak-anak cucu saya, apa yang saya mahu ceritakan ?

Saya risau persengketaan politik yang menjadi-menjadi ini diteruskan sehingga salah seorang mati dan salah seorang beroleh tampuk kuasa. Seolah-olah tiada istilah “sit down” dan “politik damai”. Kenapa selamanya perlu sengketa ? Sedangkan kita diikatkan dengan ikatan akidah, bukan sebarang ikatan !

Agama kita sama, syahadah kita serupa. Tapi mengapa mesti berpecah?

Buat generasi muda, mari kita sambut seruan ini. Jika bukan generasi mereka, jangan larutkan hingga ke generasi kita. Semoga politik yang bakal kita bina nanti adalah politik damai yang penuh dengan keharmonian. Politik hujah yang dipenuhi dengan fakta bukan auta.

InsyaAllah, kita mampu merubahnya.

Cukup-cukuplah dengan politik sengketa !

Wallahualam

Asyraf Farique

Hubung Kait As Siyāsah As Sharʿiyyah (Politik Islam) dengan Hukum Syarak

tumblr_lffoqvjI841qet85to1_500

Ada sesetengah pandangan yang mengatakan idea asasi bagi ilmu As Siyāsah As Sharʿiyyah (Politik Islam) ialah idea ‘Good Governance‘, atau urus tadbir yang baik semata-mata.

Dr Naseebah Mustafa Al-Bugha, di dalam kesimpulan kajian akademiknya, menegaskan bahawa sangkaan sesetengah pihak tentang tiadanya kaitan antaraThawābit As Sharʿiyyah (perkara tetap di dalam syarak) dengan urus tadbir yang baik (good governance) adalah sangkaan yang silap.

Berikut ialah sebahagian daripada noktah-noktah yang digariskan oleh Dr Naseebah Mustafa di dalam penulisannya:

  1. As Siyāsah As Sharʿiyyah tidak secara mutlak bebas daripada sebarang syarat dan garis panduan (menurut syarak), bahkan ia memiliki syarat-syarat dan garis panduan yang terperinci.
  2. As Siyāsah As Sharʿiyyah hanya layak digelar sedemikian jika ia dipraktiskan oleh seseorang pemerintah yang mempunyai keupayaan ijtihad (menurut syarak), atau daripada agensi/badan yang menurut citarasa syarak yang dilantik oleh pemerintah tersebut.
  3. As Siyāsah As Sharʿiyyah terbit daripada dalil-dalil syarak yang furu’(cabang), yang ditunjukkan oleh dalil-dalil syarak yang usul (pokok).
  4. Hukum asal di dalam As Siyāsah As Sharʿiyyah ialah memelihara kesan/akibat (Ma’ālāt) tindakan, dan memelihara tujuan-tujuan (Maqāṣid) syarak.
  5. As Siyāsah As Sharʿiyyah mempunyai syarat-syarat, yang jika tidak dipenuhi ia sama sekali tidak layak memakai label Sharʿiyyah (menurut syarak).
  6. Jika pemerintah memutuskan sesuatu yang mematuhi As Siyāsah As Sharʿiyyah, maka rakyat harus berpegang kepadanya secara agama dan undang-undang (keputusannya menjadi keputusan undang-undang dan keputusan syarak).
  7. Di sana terdapat beberapa Thawābit (perkara tetap) di dalam syarak yang tidak mungkin sesiapa pun membelakanginya walau dengan apa alasan sekalipun. Bukanlah kerana ia bersifat muqaddasah (suci/sakral) semata-mata, tetapi kerana ianya dibentuk untuk kesesuaian sifat kemanusiaan seorang insan yang tidak mungkin berkembang dan berubah. Manusia pada tabiatnya akan kekal sebagai seorang manusia sejak dari mula penciptaannya oleh Allah sehinggalah ke penghujung zaman. Oleh yang demikian, ʿIbādāt, asas Muʿāmalāt, serta perkara asasi berkaitan moral/akhlak, adalah perkara yang tetap dan tidak berubah, serta tidak dikesani sebarang perkara kecuali rukhsah-rukhsah yang sudah ditetapkan syarak.
  8. Setiap hukum yang telah dijelaskan oleh Penetap Syarak (Allah) dari apa sekalipun sudut, berdasarkan dalil-dalil yang Qaṫʿiy (muktamad), adalah hukum yang tidak boleh terkesan dengan As Siyāsah As Sharʿiyyah.
  9. Setiap hukum yang dinisbahkan kepada apa-apa ʿillah (sebab) yang tertentu, hukum ini berubah bergantung kepada ʿillahnya. Dan Ijtihad pada mana-mana hukum bergantung kepada kewujudan atau ketiadaan ʿillah ini (samada perlu Ijtihad atau tidak).
  10. Perkara yang wajib secara Qaṫʿiy (muktamad) penetapannya, samada ianya terhad (muhaddad), bertempoh (muaqqat), atau tertentu (muʿayyan/ʿain), tidak boleh terkesan dengan As Siyāsah As Sharʿiyyah (samada untuk diubah atau diringankan). Yang boleh mengubah atau meringankannya hanyalah Rukhṣah (keringanan) yang disebutkan oleh syarak sahaja.
(Dipetik daripada buku As Siyāsah As Sharʿiyyah Wa Atharuhā Fi Al Ḥukm As Sharʿiy At Taklīfī (Dar An-Nawadir, 2012) karangan Dr Naseebah Mustafa Al-Bugha)
Ust Syed Ahmad Israa’

Perisai politik

8389948650_d9854b1088_z

Bilamana sebuah badan dakwah menceburkan diri dalam amal politik, tidak dapat tidak, para ahlinya akan terpalit dengan “jahiliyah-jahiliyah” yang telah sedia ada terkandung dalam politik.

Walaupun begitu, ini tidak bermakna para ahlinya harus menjauhkan diri daripada politik yang sering didescribekan sebagai a dirty game.

Sesuatu harus dilakukan untuk mengislamisasikan politik, dan para petugas amal islami harus memikul tanggungjawab ini dengan menjadi ” front line ”

Justeru, agar para petugas amal islami ini tidak turut sama terpalit dengan noda jahiliyah masyarakat politik, beliau (Syed Qutb) mengetengahkan konsep “uzlah Syu’uriyah”

Pengertian uzlah yg dimaksudkan ialah, pengasingan jiwa dpd turut dikotori atau dijangkiti noda-noda masyarakat jahiliyah dengan ;

1) Menjadi seorang yang punya qudwah.
2) Menunjukkan akhlak yg baik
3) Terus merasai ketinggian iman

Uzlah yg dimaksudkan juga adalah perbezaan.

1)Perbezaan antara golongan yg beriman dan kufur.
2)Perbezaan dari sudut pemikiran dan pandangan
3)Perbezaan dari sudut akhlak dan perlakuan.

Akhir kata, sempat Syed Qutb berpesan supaya para petugas amal islami terus berkorban, terus berjihad tanpa takut kepada celaan org-org yang suka mencela.

“Jangan seseorang dari kamu menjadi org yg tidak punya pendirian dgn berkata “Aku bersama org ramai, jika sekiranya mereka berbuat baik aku pun berbuat baik, jika mereka melakukan kejahatan aku pun turut melakukan kejahatan …… Tetapi hendaklah kamu menetapkan pendirian kamu ” hingga akhir hadis, riwayat tarmidzi

Wallahualam.

Asyraf Farique

Bila Politik Ber Poligami

politik

“Apa ? Cik Mat tu nak kahwin lagi ? Biar benar ?” Soal Ali

“Betul… serius aku tak tipu ..” Jawab Abu dengan muka yang agak serius

“Hrmm.. kasihan bini-bini dia bu. Sudahlah tidak diberi nafkah, ada hati nak kahwin lagi satu”

Dasar lelaki jalang ! Jawablah depan Allah nanti” Marah Ali

Bila ibadah disalah erti

Di Malaysia ini, ada dua “ibadah” yang selalu dipandang serong oleh masyarakat. Satunya di panggil poligami, dan satu lagi dipanggil politik.

Seolah-olah telah sedia maktub dalam minda masyarakat muslim kita bahawa, politik dan poligami bukanlah satu ibadah yang menambah pahala, tetapi lebih menjerumus kepada “ibadah” penambah dosa.

Jika poligami itu selalu dinisbahkan kepada benda-benda yang buruk, politik juga tidak terlepas. Malah lebih teruk lagi ada yang mengelarkan politik sebagai “a dirty game !”

Dua-dua buruk ! 2 x 5 !

Full stop ! Tiada sebarang kompromi. !

Definisi politik 

Jika merujuk kepada pendifinisian intelektual kedua-dua istilah ini, nyata ianya memang membawa banyak kebaikkan berbanding keburukan. Itupun selagi ianya dipraktikkan dalam kerangka syara’ .

Saya ambil contoh di sini, istilah “Siasah” ataupun politik . Istilah ini dalam bahasa Arab berasal daripada kata dasar yang membawa maksud tadbir, perintah, mengetuai.

Manakala menurut Istilah para ulama silam membahagikan kepada dua ;

1) Makna ‘am : Mentadbir urusan manusia dan urusan dunia mereka dengan syariat din (agama). Dan mentakrifkan “khilafah” sebagai ;

“Penganti tugas rasul dalam menjaga agama dan mentadbir dunia dengan berpaksikan agama”

2) Makna Khas : Tindakan-tindakah yang dibuat oleh imam (pemerintah) berdasarkan sumber-sumber, bertujuan untuk menghalang kerosakan yang belum melanda atau satu langkah pemulihan.

*Rujuk Indahnya Politik Cara Islam, tulisan Dr Zaharuddin ms 3 dan 4

Justeru, tidak timbullah isu politik sebagai “dirty game” jika ahli-ahli politik khususnya dan masyarakat awam umumnya  memahami pendifinisian ma’na politik ini menurut kerangka Islam dan bukannya semata-mata menurut kehendak nafsu dengan hanya merujuk Machiavelli dalam karya agungnya “The prince”.

Kita perlu sedar, umat Islam punya lebih dari sekadar itu. Umat Islam punya Al Quran dan As Sunnah sebagai rujukan utama. Jadi, tegarkah kita melihat politik menurut kaca mata selain daripada kaca mata Islam ?

Tepuk dada tanya iman.

Salah Siapa ?

 “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dipercayai” (Al-Qasas : 26)

Syed Qutb di dalam Tafsir Fil Zilal menghuraikan ayat ini dengan cukup indah. Beliau mendifinisikan istilah “qawiyul amin” kuat lagi amanah itu berdasarkan kata-kata berikut ;

“Dia (Nabi Musa as) adalah seorang pemuda yang mampu bekerja kuat, dan amanah menjaga harta benda, kerana orang yang amanah menjaga maruah wanita tentulah amanah menjaga sesuatu yang lain”

Jelaslah di sini bahawa kedua-dua kriteria ini iaitu kuat lagi amanah merupakan salah satu kriteria yang perlu ada pada mana-mana pemimpin. Termasuklah orang yang “berpoligami” dan orang yang “berpolitik” . Kerana mereka pada hakikatnya adalah seorang pemimpin, meski berbeza saluran.

Dengan mempunyai sifat ini, mereka akan lebih berhati-hati dalam menilai mana satu yang halal dan mana satu yang haram. Hati mereka akan senantiasa peka dan sensitif akan tuntutan syara’.

Politik Islam atau Islam Politik ?

Saya tertarik dengan satu persoalan yang dikemukakan oleh Ustaz Pahrol Md Juoi dalam salah sebuah artikel tulisannya.

“Apakah politik telah diislamkan atau Islam yang telah dipolitikkan ?”

Persoalan ini walaupun tampak remeh, tetapi sebenarnya sangat berkait dengan persoalan yang kita tampilkan di atas. Persoalan mengapa masyarakat memandang serong akan dua ibadah ini iaitu “politik” dan “poligami”.

Persoalan ini jika diselusuri dengan lebih jauh, membawa kita kepada satu sudut pandang yang baharu iaitu ; tiada sebarang kecacatan mahupun ketempangan pada sistem pensyariatan ibadah itu sendiri. Pasti !

Namun, dalam satu sudut pandang yang berlainan, sebenarnya wujudnya kecacatan dan ketempangan yang ketara dari segi kefahaman di kalangan masyarakat umum mengenai sistem pensyariatan ibadah itu. Mereka sukar membezakan antara ilmu dan aplikasi amal.

Lalu, permasalahan ini akhirnya membawa kepada natijah yang lebih besar iaitu wujudnya salah faham akan kedua-dua ibadah ini, dek kerana kurang ilmu. Ibadah yang sepatutnya menjana pahala, tetapi berakhir dengan dosa.

Apakah solusinya ?

Solusinya tiada lain selain kembali kepada Islam. Islam menganjurkan supaya menekankan tarbiyah, maka kita memilih tarbiyah sebagai core bussiness dalam merubah setiap individu muslim. Merubah sudut pandang mereka. Merubah cara mereka berfikir. Merubah cara mereka memandang Islam.

Dengannya, bukan sahaja politik mampu di islamisasikan, tetapi juga harapnya poligami juga begitu !

InsyaAllah !

Moga tiada fitnah lagi.

Politik dan Poligami itu dua-duanya ibadah !

Wallahualam.

p/s : Jangan tersengeh-sengeh ye Pak Abu

 

Asyraf Farique
Monash University Sunway

 

Pintu Taubat Dan “Marijuana” Dunia

addiction

Masih terbukakah pintu taubat?

Kesugulan adalah satu titik dalam kehidupan yang mahu dielakkan. Mengapa mahu memilih kemurungan sedangkan kegembiraan itu ada? Mengapa perlu kepada yang hitam sedangkan putih itu wujud? Untuk apa bersedih-sedih padahal kegembiraan itu lebih berharga?

Dan dalam masa yang sama, manusia itu gemar memilih jalan singkat. Jika dibentangkan 2 jalan untuk ke destinasi yang sama, satu sifatnya ringkas dan pendek serta yang lain itu rumit, panjang, malahan kompleks, maka mana satu akan jadi pilihan? Memang lumrah, tidak ramai yang sanggup untuk bersusah dahulu dan bersenang kemudian.

Lalu, apa kaitannya kesugulan itu dengan jalan singkat ini?

Marijuana dan amfetamin.

Kesanggupan untuk hidup dalam kepalsuan dunia menjadi pilihan asalkan kesugulan itu dapat dielakkan. Memang ada yang sentiasa memilih untuk hidup dengan halusinasi dan jauh daripada realiti. Dan keadaan yang lebih menyayat hati, apabila diri tidak sedar sedang dihalusinasikan. Dicandukan dengan gula-gula dunia. Enak, gembira, dan berlelucon sentiasa.

Seperti anjing bertemu pasir.

Dunia yang serba palsu itu tadi, dengan mudahnya membuatkan kita lupa. Juga alpa. Walaupun usia ini sebenarnya tidak tua mana. Pemuda itu akan lupa dan alpa, akhirnya dia mahu ke mana? Apabila habis marijuana dan amfetamin itu, apa seterusnya? Sesudah hilang enaknya gula-gula dunia, mahu buat apa?

Selepas halusinasi itu apa?

Hidup dalam halusinasi palsu memang tiada akhirnya. Dunia bukan tempat untuk mendapatkan puncak kenikmatan. Itu limbo.

Boleh jadi, kita ini tidak pernah jumpa marijuana mahupun amfetamin itu. Sentuh apatah lagi. Lantas dengan senyum bangga menyatakan diri tidak pernah dalam kerugian. Merasa selamat dan selesa dengan keadaan yang sedia ada.

Jangan terus memperbodohkan diri sendiri.

Bagus juga jika kita mampu buat statistik atau catatan, akan apa yang telah dilakukan sebenarnya. Cuba kita bandingkan sendiri, antara jumlah game yang kita main, duit yang dibazirkan, masa yang kita buang, kemalasan yang kita jadikan kawan, dengan Quran yang dibaca, solat yang dilaksana, dan potensi diri yang dibiar sia-sia. Perbandingan ini mampu membantu menentukan adakah kita sedang hidup dalam halusinasi dunia.

Lalu, adakah aku tercela?

Rahmat Allah tidak pernah putus untuk hamba-hambanya. Sentiasa Dia itu memerhati dan akan dengan senang gembira mendengar rintihan dan memperkenankan doa kudus kita. Pintu taubat belum ditutup lagi.

Merasa selesa dengan keadaan ini, juga satu masalah. Menyangka hidayah Allah itu ada, namun belum pernah cuba mendapatkannya. Jangan jadi manusia yang lupakan arRahman.

والذين جهدوا فينا لنهدينهم سبلنا و أن الله لمع المحسنين

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. (al Ankabut : 69)

Tidak pernah Allah mengharapkan yang bukan-bukan. Hanya Dia mahukan, benar-benar kita ini menjadi pemuda beriman. Persetankan kedudukan dunia, ketepikan jumlah harta, kerana kelak yang akan dilihat adalah hati-hati kita.

Ubah orientasi hidup.

Ini satu tuntutan. Jangan pernah malu untuk bertaubat. Usah segan untuk berubah. Jangan malu-malu untuk ikut usrah. Mulakan dengan meninggalkan perkara keburukan. Bunuh kemahuan untuk membazir masa. Kemudian, mula berjinak-jinak dengan al Quran, solat, dan aktiviti-aktiviti yang benar-benar mampu membina kita. Pasak dalam-dalam tujuan hidup, supaya hidup sungguh-sungguh terpandu.

Benar, pintu taubat masih terbuka. Cuma yang tinggal adakah kita benar-benar mahu meninggalkan marijuana dunia untuk memasukinya.

Mohamad Ad
Universiti Al Azhar, Mesir