Kaka Peluk Islam ?

Kaka1

Pemain bola sepak terkemuka Brazil, Kaka, memeluk agama Islam.

Syukur akhirnya “Beliau telah diberi hidayah oleh Allah”

Ha ???

Ok itu satu contoh.

Contoh ke dua, mahasiswa memukul kepala anggota polis hingga tercabut hidung ?

Berita paling dekat suatu ketika dahulu,

“Angkara Kuey Teow”

Hanya mengambil kenyataan satu dua orang di sekolah kami, media dengan mudahnya membuat kesimpulan bahawa “kuey teow” kantin penyebab keracunan makanan.

Berita itu tidak mengapa, tiada unsur fitnah, meski tipu belaka.

Cuba bayangkan, sesuatu yang bersifat fitnah.

“Parti A talibarut Israel”

“Ulama B pengikut ajaran sesat”

“$%$%&*&^*(&

Dan bermacam-macam lagi. Cuma satu yang ingin saya sampaikan.

Integriti media ? Mana hilangnya ?

Perhatian !!! untuk mengelakkan kebosanan, saya akan menulis dalam kadar bahasa yang sangat mudah. Mungkin lebih rendah mutu bahasanya daripada penulisan UPSR.

Rakan-rakan sekalian,

Jujur saya katakan, topik ini agak berat untuk dihuraikan. Bosan ? Panjang ? Tiada jalan cerita ? Tidak romantik ? Itu pasti. Namun, sampai bila minda kita harus dikongkong dengan sesuatu yang bersifat “ringan” serta mudah untuk dihadam? Dalam erti kata lain, tiada penggunaan minda tahap “super” diperlukan untuk mencerna maklumat. Dan, jika adapun, 0.1% mungkin?

Untuk penulisan kali ini juga, saya mengelakkan penulisan bersifat “reflektif” terlampau. Dengan bahasa mudah, kurang “flash back”. Biar ringkas, mudah dan senang untuk diterima isinya.

Integriti ?

Apakah itu?

Integriti jika dirujuk kamus minda saya (malas untuk merujuk kamus), bermaksud, ketulusan, kejujuran dalam menyampaikan sesuatu. Terus kepada isi di atas ;

Kekurangan Integriti dalam arus media seantero dunia. Lebih spesifik, di Malaysia.

Setelah hampir 13 tahun menjadi pembaca setia akhbar tempatan (ditolak sebelum berumur 7 tahun), akhirnya dapat juga saya rumuskan satu pola konklusi bahawa ;

Media di Malaysia kurang sesuatu yang dipanggil sebagai integriti dalam menyampaikan maklumat.

Anda tahu kenapa ?

Kadang-kadang saya berasa sangat loya membelek satu demi satu petikan akhbar-akhbar tempatan. Yang satunya memang terkenal dengan berita “politikus” terlampau, yang satunya terkenal pula dengan tajuk “headline” separa lucah, separa mistik dan juga separa ajaib. Itulah kita, bila kerjaya kewartawanan ini diserikan lagi dengan insan-insan tiada integriti. Ops !!! bukan semua. Hanya segelintir.

Anda tahukah bahawa, dek kerana kekurangan integriti, banyak masalah berlaku di negara kita ini. Fitnah berlaku berleluasa, seolah-olah sukar dibendung. Adu domba, akhbar berkepentingan, mengambil setengah, menolak setengah yang lain. Aduh.. Dari hari ke hari nilai integriti ini semakin puput ditelan zaman.

Maka, tidak mahu tidak, kemunculan akhbar yang tulus serta media yang penuh integriti amat dinanti-nantikan oleh masyarakat. Media yang tiada kepentingan diri dari segi politik, pengaruh mahupun keuntungan.

Saya tahu, artikel saya ini, mungkin kurang daripada 2 orang yang membacanya. Siapalah saya. Tiada jawatan, pangkat mahupun kuasa.

Namun, ia tetap sesuatu yang lahir dari buah fikiran insan yang bernama pemuda. Buat sekian kalinya, saya ingin memuji tv-al Hijrah/sinar harian/tv isma atas pendekatan serba baru yang berjaya dimainkan mereka. Agar nanti berita-berita serta siaran-siaran hiburan yang disajikan bukan sahaja penuh integriti tetapi penuh kualiti dan 100% dijamin halal.

Jangan pernah malu untuk menjadi ahli media. Kepentingan anda amat diperlukan masakini. Bayangkan jika ahli-ahli media, wartawan serta journalis ini tahu bahawa kerjaya mereka tidak kurang pentingnya berbanding doctor, engineer dan juga saintis mereka akhirnya sedar akan peri pentingya nilai integriti ini.

Ini kerana, tanpa wartawan yang jujur, impaknya bukan setakat terkena pada satu dua orang, malahan mungkin bencana yang besar boleh menimpa seantero dunia.

Tidak percaya ?

Lihat sahajalah peperangan.

Api-api fitnah ini disebarkan oleh siapa ? Jika tidak media ?

Media, anda seharusnya bersikap profesional dalam menjalankan tugas, integriti itu harus dijunjung. Apa gunanya berita meletup-letup selepas anda meletup-letupkan api perpecahan dalam kalangan umat Islam itu sendiri. Masyarakat. Anda harus bijak menilai. Jangan mudah terpedaya dengan sebaran fitnah. Kaji betul-betul. Jangan kerana cakap satu dua orang, anda telah percaya. Tonton satu dua video di you tube, anda boleh buat huraian sendiri.

Justeru, ambillah sikap tabayun dahulu apabila mendengar/melihat sesuatu perkara. Ingatlah akan firman Allah swt ini ,

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

(Al-Hujuraat49:6)

Semoga bumi tercinta ini terus disirami mekarnya bunga tarbiyah. InsyaAllah.

Asyraf Farique

Advertisements

Fikrah Perubahan

i tarbiyah

Memahami dan mendalami sesuatu fikrah perubahan itu pun memakan masa yang panjang dan usaha yang tidak terkira.

Apatah lagi untuk hidup dengannya, dan istiqamah di atasnya.

Apatah lagi untuk mengumpul manusia bersama-sama memahaminya dan bergerak mendokongnya.

Apatah lagi untuk mendidik keluarga dan generasi kita dalam memikul fikrah yang sama.

Apatah lagi untuk menjadikan masyarakat mampu menerima, menyokong atau paling kurang tidak menentangnya.

Apatah lagi untuk memenangkannya ke atas jahiliyyah yang telah lama menggari jatidiri umat Islam hingga menjadi lemah longlai terhadap ancaman-ancaman kuasa-kuasa dunia.

… dan banyak lagi apatah-apatah yang terus menerus dalam benak fikiran kita, para pembawa risalah dan penggerak menuju perubahan yang didambakan yang hasilnya mungkin memakan umur beberapa generasi.

Apa kita peduli, tempoh itu bukan urusan kita, bahkan kita hanya dituntut untuk menunaikan tuntutan perhambaan dalam menegakkan agama di bumi Tuhan.

Namun, bagi mereka yang hanya menganggap dunia akan berubah dan Islam akan memerintah hanya semata-mata dengan kempen pilihanraya, atau status facebook, atau debat ilmiah, atau cyber troopers yang di-assigned, atau ceramah-ceramah yang hanya menjurus kepada ‘undi’, maka ketahuilah … dia sebenarnya sedang bermain-main dalam ‘ibadah’ politiknya.

Bak kata Abdullah bin Al-Mubarak kepada Fudhayl bin Iyadh ;

“Wahai ‘abid dua tanah haram, sekiranya engkau melihat usaha kerja kami, sudah pasti engkau akan mengetahui bahawasanya … engkau sedang bermain-main di dalam ibadahmu”

Maka saya cuba olah kembali bait syair itu agar sesuai dengan realiti semasa kini,

“Wahai ‘abid dalam medan politik, sekiranya engkau melihat titik peluh kami dalam membina gagasan perubahan Islam, dan mempertahankan jatidiri umat ini .. pastinya engkau akan mengetahui bahawasanya .. engkau hanya bermain-main dalam ibadah politikmu”

Ust Syamil Esa

Dakwah Bukan Milik Kita

tumblr_lrq0zdycuK1r19e2io1_1280

Ketika sedang berhenti di lampu trafik dalam perjalanan membayar bil di Bandar Seremban, sebuah kereta kancil cuba untuk mencelah masuk ke dalam barisan kereta, berhampiran saya. Saya perhatikan kereta tersebut, ada pelekat kereta Palestin di belakangnya, ‘mungkin al-akh’ getus hati saya. Kelihatan zaujahnya (saya sangka) bertudung labuh di sebelah, sayup-sayup pada mata saya. Saya terus memberi ruang untuk dia masuk apabila lampu telah hijau. Apabila dia sudah melepasi saya melihat kembali pelekat Palestin tadi, dia bukan al-akh dari organisasi saya. Di sepanjang perjalanan saya berfikir-fikir tentang ibrah daripada apa yang baru saya lalui tadi.

‘Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan serta berkata “Sungguh, aku termasuk orang-orang Muslim (yang berserah diri)”.’ [QS:41:33]

Dakwah ini milik siapa? Adakah dakwah ini milik golongan tertentu? Apakah ianya sesuatu yang hanya boleh dilakukan oleh golongan yang eksklusif? Dakwah yang merupakan seruan ini adalah daripada Allah dan akan kembali akhirnya kepada Allah jua. Maka, ia bukan milik sesiapa. Sesiapun tidak bisa menyatakan bahawa dakwah ini hanyalah milik dirinya, hanya dia yang layak mengerjakannya seterusnya menafikan kerja dakwah orang lain, apalagi melakukan dakwah untuk menyeru manusia kepadanya (menjadi pengikutnya).

Ketika di awal fasa menyertai organisasi dakwah, kita difahamkan bahawa seruan Islam ini bukan tanggungjawab yang digalas oleh golongan yang bergelar ‘ustaz’ dan ‘ulama’ semata-mata, maka dengan itu kita dibersihkan dari stigma yang hampir melumpuhkan ummah seluruhnya. Kemudian setelah berada bersama para pendukung dakwah, kita melihat bahawa dunia dakwah ini bukan satu benderanya, malah berjenis-jenis dan bermacam warna, pendukung dakwah ini bukan kita sahaja, bukan di Malaysia sahaja, malah bertebaran fikrah Ikhwanul Muslimin di seluruh pelusuk dunia. Namun, di situ punya cela.

Celanya pada kita yang tidak betah melihat orang lain melakukan kerja dakwah, kita berasa tidak senang apabila ramai orang mengikut seruan mereka. Walhal, dakwah ini (andai kita faham dan cerna) di akhirnya akan ditujukan kepada Allah jua, juga berapa ramai yang terlupa bahawa dakwah ini bukan hak milik eksklusif kita. Bayangkanlah dalam keadaan ummah terkeliru dan masih melekat pada stigma siapa yang berhak menyeru kepada Islam, kita yang berada dalam kelompok sedar yang kecil ini bertelingkah pula siapa yang berhak mengangkat panji dakwah. Apa untungnya untuk ummah? Apa manfaatnya untuk para mad’u?

Kalau saya mahu umpamakan, ummah ini adalah seperti sebuah kota yang di di kelilingi oleh benteng-benteng teguh lagi utuh. Dalam keadaan dan situasi kota ini dihunjam dan dijarah oleh musuh Allah yang sentiasa mencari titik kelemahan untuk menerobos memusnahkan kita, ummah di dalamnya telah bobrok dan rosak dengan parasit sosialisasi yang dihantar secara sulit oleh musuh Allah. Namun, mereka masih lagi boleh diselamatkan kerana adanya pengawal-pengawal benteng yang mengelilingi kota tersebut. para du’atlah yang mengawalnya. Andai para pengawal di pintu utara, timur, barat dan selatan bergaduh sesama mereka, maka nantikanlah keruntuhan benteng ini, seterusnya membenarkan para penjarah menerobos dan membunuh anak-anak kecil dan para wanita kita.

Kitalah pelindung ummah ini, kitalah pembela ummah ini, kitalah harapan ummah ini. Di sebalik mereka tidak menyedari bahaya yang meragut jiwa mereka serta tidak melihat kita sebagai penyelamat, kitalah para du’at yang menjadi jata maruah kepada ummah. Kepelbagaian warna dan bentuk bendera dakwah kita tidak sepatutnya menjadikan kita musuh antara satu sama lain, kerana di sebalik kibaran bendera itu, kita masih saudara seaqidah yang ingin memimpin ummah kepada Allah.

Saya erti ada komplikasi dan isu yang terselit di sebalik cela ini, ia dikomplekskan dengan pelbagai masalah yang berselirat membawakan kita kepada sesuatu yang membawa mudharat seperti ini. Di sebalik semuanya ini, kita perlu mengerti bahawa ada maslahah ‘ammah yang perlu diberi perhatian kerana ia akan memberi impak besar kepada ummah. Ummah tidak akan nampak hal ini kerana kebanyakan daripada mereka sedang tidur. Berapa banyak pula ummah yang inginkan Islam tetapi ditipu oleh penggerak-penggerak dakyah sesat akhirnya kecundang?

Usahlah kita menzalimi diri dan saudara du’at kita, bergeraklah kita masing-masing di medan sendiri dan raikanlah para ikhwan dan akhwat kita yang sama-sama bergerak tanpa menafikan mereka. Berhentilah mencaci dan mengadu domba tanpa kebenaran. Jujurnya saya penat mendengar cerita-cerita seperti ini, yang tiada asasnya, yang tidak jelas beritanya, yang hanya mengeruhkan hubungan sesama ikhwah. Cukuplah, kurangkan berkata-kata, perbanyakkan kerja kita, pembaikpulihan ummah ini banyak memerlukan perih jerih dan usaha kita.

Ya, saya tahu, faham dan sedar, bercakap memang mudah daripada membuatnya, namun membuatnya meskipun dalam penuh kesukaran adalah bukti kesetiaan kita kepada tarbiyyah dan fikrah yang kita yakini. Dakwah bukan milik kita, bukan hak milik eksklusif kita.

Emir Abu Khalil
Graduan Macquarie University
Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL

Azam Tahun Baru ku

Baby strong

Oh Allah,
terima kasih atas tahun 2012 Mu,
terima kasih atas segala suka dan duka sepanjang perjalanan,
terima kasih untuk segala kejayaan dan kegagalan,
terima kasih atas tunjuk ajar Mu,
terima kasih atas kenalan yang Kau berikan kepadaku,
terima kasih kerana memberi peluang kepada diriku untuk terus hidup,
terima kasih atas segala pengalaman yang Kau berikan kepadaku,
terima kasih atas segalanya yang tidak mampu aku katakan,
semoga Kau redhai aku,
semoga Kau terima amalku,

Dan,

semoga Kau berkati segala usahaku di sepanjang tahun itu.
2012 bakal pergi,
2013 menanti,
ku harap 2013 ini lebih bermakna buatku,
penuh dengan cahayaMu,
aku inginkan tunjuk ajar Mu tanpa jemu,
semoga tahun 2013 yang mendatang akan menjadikan aku lebih bersedia,
dan lebih matang dalam menghadapi apa jua cabaran dan dugaan,
semoga 2013 ini penuh dengan warna warni,
oh Allah,
redhailah aku,
keluargaku,
saudaraku,
sahabatku,
guru-guru ku,
dan seluruh hambaMu ,
rahmatilah kami,
lindungilah kami,
bekatilah kami,
teguhkanlah hati kami untuk terus dijalanMu,
teguhkanlah iman kami kepada Mu

Dan,
Kau jadikanlah 2013 tahun yang lebih baik buat kami.
2013,
ayuh kita tempuhi.

Bismillah…

Hazman Syamil
Accountancy, University of Auckland

Bakar al-Quran?!

bakar-al-quran

Sekiranya Mushaf al-Quran dibakar. Ada tiga sisi pandang bagi seorang Muslim dalam isu ini.

Pertama: ketahuilah, sekiranya engkau membakar mushaf-mushaf itu, sesungguhnya ia hanyalah kertas yang membekas tulisan-tulisan mulia. Sedangkan ruh tulisan dan pengertiannya memahat dalam jiwa-jiwa kami. Sedangkan dahulunya al-Quran itu sendiri tidak berbuku, hanyalah pada lembara-lembaran sahaja. Engkau bakar mushaf itu tidak lebih daripada sekadar membakar buku lama. Sedangkan orang beriman itu mushafnya letak di jiwa dan hidup membara. Engkau boleh berusaha untuk memadamkan Nur Allah, tetapi Allah ialah penyempurna Nur-Nya!

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) Penyempurna cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya”. [QS:61:8]

Kedua: sekiranya mereka dibiarkan membakar mushaf al-Quran kami, sekiranya kita tidak melakukan apa-apa, seolah-olah kita menunjukkan kita ini lemah tidak berdaya. Sudahlah kehilangan khilafah, hampir 100 tahun menunggu lahirnya pengganti, tiada berdatangan. Kini diinjak-injak, di sebuah negara pengagung Demokrasi. Tuan presidennya hanya melihat dan menegah dengan kata, ‘Ini kebebasan bersuara’ katanya! Kita perlu lakukan bantahan besar-besaran. Negara ini yang sebenarnya membenar penyangak dan pengganas bersarang di negeri-negeri mereka, kenapa Islam yang dipalit dengan nama buruk?! Kita mesti bangkit menentang! Memang tidak ada makna yang dalam sekiranya mereka membakar mushaf itu, namun, selepas seorang, seorang lagi akan naik, kemudiannya semakin ramai, ummat kita ramai yang jahil, baca Quran bukan sekadar merangkak, lebih dahsyat ramai yang tak reti! Baca al-Fatihah pun tidak lepas, apalagi menghafaznya! Kita perlu tolak manusia ini!

Ketiga: tidakkah kau berasa pelik melihat orang yang beriya-iya membakar al-Quran ini?! Apakah yang sesatnya sehinggakan terdesak untuk membakarnya?! Aku lihat, masih ramai orang seolah-olah tidak mengendahkan si gila yang mahu membakar mushaf ini, dan dia pula terdesak mahukan perhatian. Apa yang cuba dia sampaikan?! Apakah mesej yang ingin dia bawa?! Kalau benar Islam dan al-Quran ini sesat, mengapa hanya ada sebilangan kecil yang melakukan perbuatan radikal seperti ini?! Oh, pelik sungguh rasanya.

Apa yang anda fikirkan tentang ini?!

Kalau saya gabungkan ketiga-tiga sudut pandang ini. Maka inilah jawapan saya.

Apa yang kita lihat berlaku ini adalah suatu taktik yang lemah daripada pihak musuh, siapapun ia, apapun agendanya. Tidakkah pelik, kalau Islam itu sesat, mengapa yang dibakar itu al-Quran?! Bukankah jelas bahawa isu sebenarnya ialah mereka pun tidak punya agenda yang jelas dalam isu ini. Mungkin, mereka ingin menguji sensitiviti ummat Islam dalam isu ini. Mungkin juga mereka sengaja mahu bermain api, dengan respon yang radikal diberikan oleh ummat Islam menjadi bukti bahawa ummat Islam itu adalah pengganas.

Saya sangat pasti bahawasanya si pelaku juga tahu dan arif bahawa pengikut (baca: Orang Islam) al-Quran bukan seperti mana-mana pengikut agama lain. Agama lain ada yang hanya mengkhususkan kitabnya untuk bacaan golongan tertentu sahaja. Agama lain ada yang membenarkan ketua agama untuk mengeksploitasi ayat dalam kitab untuk kehendak dirinya sendiri. Al-Quran adalah kitab yang boleh dibaca oleh semua peringkat umur! Kerana itu, ada sahaja daripada kalangan huffaz semuda usia 5 tahun!  Al-Quran itu hidup dalam hafazan para huffaz yang jutaan ramainya di seluruh dunia, apa yang lelaki gila membakar al-Quran ini mahukan sebenarnya?! Adakah dia berasa bahawasanya dengan membakar al-Quran itu orang Islam akan menjadi semakin sedikit?! Aneh, sungguh aneh!

Walaubagaimanapun, masih ada kelemahan kita ummat Islam yang perlu diperbaiki. Masih ramai daripada kalangan ummat Islam. Ramai daripada anak-anak kita, kawan-kawan kita yang sukar atau tidak reti membaca al-Quran. Saya secara peribadi tidak melihat ancaman membakar al-Quran itu akan menjejaskan mereka-mereka ini, namun tidak ada sebab untuk berasa selesa dan membiarkan sahaja ia berlalu seperti kes-kes terpencil. Kerana keselesaan kitalah yang akan membunuh kita.

Tentu lebih pelik kerana dalam negara kita, ada pihak yang ingin menggunakan kalimah Allah dalam injil Bahasa Melayu. Pertama kita kena faham sesuatu tentang injil yang mereka imani ini. Ia bukan dalam bentuk terjemahan seperti al-Quran. Injil daripada bahasa asalnya Ibrani, terus diterjemah ke dalam bahasa yang dikehendaki. Kerananya, maka bahasa asal Ibrani itu hilang. Berbeza dengan al-Quran, al-Quran ini ada dua jenis bentuknya. Satu terjemahan, dan satu tafsir. Ia dua-dua berbeza. Terjemahan hanyalah maksud literal ayat-ayat al-Quran, orang yang hanya merujuk terjemahan, tidak mungkin seorang ulama’ dalam mehamami erti kandungan al-Quran.

Sementelah tafsir pula ialah tafsiran kepada ayat-ayat al-Quran, dari aspek kehendak, tujuan, ibrah, maksud kalimah. Hanya orang-orang yang menguasai ilmu Bahasa Arab seperti Nahu, Sorof, Balaghah dan lain-lain sahaja mampu untuk memahami al-Quran seterusnya mentafsirkannya. Kerana itu Ilah dan Rabb dalam terjemahan membawa erti Tuhan tetapi dalam tafsir, ia memberi gambaran berbeza! Dan kerana itulah juga kalimah Allah tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh orang yang memahami Tuhan itu ialah Tiga dalam Satu atau Satu dalam Tiga, kerana kalimah Allah itu sendiri bersifat tunggal! Mahu atau tidak mahu mengaku, memang ada agenda yang tersembunyi disebalik gesaan yang menyedihkan itu.

Wallahu’alam.

Emir Abu Khalil
Graduan Macquarie University
Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL

Tension ! Tension ! Tension !

article-new_ehow_images_a07_1f_3q_gifts-lazy-guys-1.1-800x800

Dewasa ini, saya melihat pelbagai ragam dan karenah manusia. Di alam universiti ini, kehidupan saya tidak lari dari berjumpa kawan-kawan, setiap detik, setiap masa…

Kawan-kawan,

Ada yang bagus benar perangainya, setiap masa yang ada diperuntukkan untuk belajar. Di dalam kelas, fokus 100%. Di rumah (hostel), sambung kembali menelaah, habis perkataan demi perkataan di dalam buku dihafalnya, setiap inci muka surat diperiksanya (exaggerate sket), pengetahuannya menjangkaui apa yang diajar oleh pensyarah di universiti.

Orang begini saya tabik, saya jadikan role model saya sepanjang masa…

Ada juga yang suka main. Keluar malam, lepak, tengok wayang, main game, futsal, internet, habis masa dengan kawan-kawan, tapi bila belajar, belajar bersungguh-sungguh. Pendek kata, masa main dia main. Masa belajar dia belajar.

Orang sebegini ada prinsip teguh, saya hormati keputusan dan cara mereka…

Ada juga yg malas langsung. Langsung tidak ada apa-apa yang boleh dicontohi dari gaya dan hidup mereka. 24 jam tidak ada masa diluangkannya untuk belajar. Pergi kelas hanya membawa diri, mindanya hanyut entah ke mana, tidak ada ruh untuk belajar, kerana terlalu penat berjaga di waktu malam, dibantainya tidur sewaktu pensyarah sedang mengajar, habis kelas mengutuk pensyarah “entah apa-apa je lecturer tuh, membebel je banyak, baik aku tidur”

Orang sebegini…emm…orang sebegini yang saya ingin “tune”kan kepala diorang ni dalam celoteh saya yang panjang lebar ni…

Kita kembali kepada asas. Kita hidup ada tujuan. Dalam konteks pelajar, secara ringkas saya boleh simpulkan, ada dua perkara asas saja yg perlu kita tunaikan iaitu; menjaga yang wajib dan belajar

MENJAGA YANG WAJIB

Perkara wajib yang saya nampak diremeh-temehkan orang sekarang ini ialah berkenaan dengan bab solat. Rukun kedua dalam rukun Islam. Mereka sembahyang, tetapi tidak diutamakan penjagaannya. Misal, solat di akhir waktu dan lebih suka solat sendiri-sendiri (dengan alasan lebih khusyuk buat sendiri-sendiri). Tidak kurang yang hanya sembahyang dua kali waktu sehari semalam. Atau sekali saja. Atau tidak sekali pun.

Apakah masalah yg melanda sehingga sukar benar untuk melakukan solat dengan sempurna? Belajar 24 jam sehari sehingga tidak ada waktu untuk solat? Anak menangis di rumah lapar tidak disusukan? Ribut taufan mahu datang menggoncang, hati tidak tenteram khusyuk untuk solat? Tidak pernah belajar agama di sekolah? Tidak ada peluang belajar? Seharian bermain internet habis buat apa?

(Jangan marah ye)

Terlepas solat subuh, tidak bermakna hari itu tidak lagi bersemangat utk sembahyang 4 waktu yang lain. Bila sudah hampir waktu solat, rehat, tenang dan lapangkan diri (Jangan time tu la nak buat-buat sibuk, karang lupa nk sembahyang!). Siapkan diri untuk mengadap Tuhan Yang Esa.

BELAJAR

Bagi saya, belajar adalah untuk mendapatkan ilmu. Tidak kira macam mana pun caranya, asal niat kita ikhlas mahu belajar (sesuatu yg bermanfaat), saya kira sudah pun menunaikan tanggungjawab itu. Memang fitrah pelajar, hidupnya adalah memegang “buku dan pena”. Tidak kira semoden mana pun “buku dan pena” itu, asasnya adalah belajar, mendapatkan ilmu pengetahuan, meraih pengalaman dan seumpamanya.

Saya fikir, kebanyakan orang sudah keliru dengan yang mana perlu diberi prioriti dan mana tidak. Mungkin zaman moden pasca kemerdekaan kebebasan berfikir sebebas-bebasnya telah mencorakkan manusia sedemikian rupa, sehingga lalai dan leka dgn teknologi, tidak tahu mana satu batil dan benar, “kawan aku buat camtu, hidup bahagia je”. Agama dipandang sepi

Perkara mudah sebegini, walaupun ringan di mata sebelah pihak, tetapi berat bagi saya. Terkadang, memberi tekanan sampingan kepada saya, sehingga sukar untuk tenang belajar. Sebab itulah saya membebel ntah apa-apa ni, untuk meredakan tekanan-tekanan sampingan tersebut. Pencerahan demi pencerahan perlu dibuat oleh org yang sedar, supaya orang lain tidak terlepas pandang, sebelum terlambat

Saya bukan orang yg sempurna utk memberitahu dan mengajar hal-hal sebegini, tetapi saya lemas, mahu berubah tetapi persekitaran tidak mengizinkan dan menggalakkan…

MARI BERUBAH KENGKAWAN!!!

cara utk berubah? Jom Google)

p/s: pesanan untuk diri dan penaja juga

Wallahualam

Abdullah Faqir
Perubatan, MSU

Aku Nak Kahwin !!!

kahwin

Nama aku, Aiman. Umur aku sekarang 21 tahun. Aku tak ada girlfriend macam orang lain since aku tahu bercouple sebelum nikah itu haram ! So, dengan sepenuh kudrat yang ada, aku cuba untuk tahan diri daripada bercouple. Korang ingat senang ke ? Kalau diikutkan hati, mahu saja aku mengurat perempuan-perempuan yang ada dekat universiti aku tu. Secara jujurlah aku cakap, zaman sekarang ni, untuk tahan diri daripada mengurat tu lebih susah daripada mengurat. Iyalah, zaman sekarang dah tak macam dulu. Tak payah guna surat-surat semua, facebook ada, twitter ada, email ada, whatssapp ada, skype ada. Dengan sekali tekan butang “send” awek-awek boleh cair la dengan ayat manis kau. Tapi aku tahu itu haram dan aku tak buat, walaupun aku tahu rupa aku not bad la jugak !

Sebab tak ada girlfriend jugalah orang lain fikir aku gila, jumud dan tak normal. Lebih mengharukan, diorang fikir aku gay ! Arghh.. Rasa macam hendak penampar je muka diorang. Zaman sekarang ni, perhubungan gelifriend dan buayafriend ni macam dah halal pulak. Halal sampai orang ramai dah tak kisah. Tengok couple jalan-jalan dekat taman, pegang-pegang tangan semua, itu macam dah biasa je bagi diorang. Orang yang tak couple semua ni, itulah yang dipandang pelik. Itulah nasib golongan Ghuraba’ ni. Sedih aku tengok.

Kalau korang nak tahu sebab apa anak-anak muda sekarang lebih ramai yang pilih untuk bercouple daripada berkahwin awal. Sebab itu la. Sebab pandangan masyarakat. Mereka fikir, bercouple ni lebih mudah daripada berkahwin. Tak payah fikir jauh-jauh. Iyalah, nak berkahwin bukannya senang, kos dah la mahal, hantaran kahwin berpuluh ribu, as a student, mana depa mampu nak tanggung semua tu. Lagipun mak ayah bila sebut pasal kahwin je, mesti naik angin. “Kau nak bagi bini kau makan apa nanti ? “ . Terpadam hasrat murni di hati diorang. Yang aku peliknya ada segelintir mak ayah, marah bila anak diorang cakap nak kahwin, tapi suka pula bila tengok anak diorang bercouple. Diorang rela tu, anak gadis diorang diusung kehulu kehilir oleh lelaki yang bukan muhrim ? Pelik-pelik.

SEKS

Hrmm.. next aku nak cakap pasal benda yang agak sensitif sikit. Seks ! Ya ! Nafsu Seks. Tapi kali ni, aku bawakan dalam bentuk perbincangan yang agak profesional. So, jangan malu jangan segan, kita semua manusia normal. Sempat la sebelum aku tulis artikel ni, aku rujuk-rujuk dulu buku Muhammad Qutb tentang Salah Faham Terhadap Islam di bawa tajuk “Agama dan repressi seks “. Dalam tajuk ini, Muhammad Qutb bawakan satu contoh ataupun analogi yang cukup cantik sekali. Beliau kata, Islam sama sekali tidak menyekat fitrah semulajadi manusia (nafsu seks) dan memandang fitrah semula jadi manusia ini sebagai satu keinginan yang bersih dan sihat. Berbeza dengan barat yang memandang agama sebagai menindas keinginan seks manusia dan menyebabkan hidup manusia menderita kerana dikongkong oleh perasaan berdosa kerana melakukan seks.

Firman Allah dalam Surah al Imran ayat 14 ;

“Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah keseronokan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik (syurga) “

Di dalam ayat ini Allah menyebutkan seluruh kegiatan-kegiatan hidup yang pada fitrahnya menyeronokkan manusia. Dan Allah mengakuinya bahawa perkara-perkara ini adalah keinginan semulajadi manusia yang sihat dan Allah tidak melarangnya sama sekali. Cuma, Islam sebagai suatu sistem yang syumul tidak mahu manusia hanyut dalam arus keinginan-keinginan itu sehingga mereka terkongkong menjadi hamba abdinya.

Muhammad Qutb juga berkata, waktu muda adalah waktu kemuncak kepada nafsu seks. Jika nafsu ini tidak disalurkan kepada tempatnya yang betul, hal ini akan merugikan pemuda itu sendiri dan juga masyarakat. Apabila pemuda-pemuda ini diperhambakan nafsu dan keinginannya, seluruh tenaga dan fikirannya akan tertumpu ke arah untuk memuaskan keinginan-keinginannya sahaja. Tujuan hidupnya jadi tidak jelas, kemampuan pemuda yang sepatutnya digunakan untuk membangunkan agama dan negara dipersiakan begitu sahaja. Negara seterusnya akan menjadi lemah kerana kehilangan pemuda-pemuda yang berkualiti.

Kita mungkin memandang hal ini sebagai suatu perkara yang remeh, tetapi Khalifah Umar b. Abd Aziz memandang perkara ini sebagai suatu perkara yang amat serius dan penting. Beliau melihat kemampuan seorang pemuda itu untuk berkahwin bukan sahaja terletak pada tangan pemuda itu sendiri, tetapi juga terletak pada tangan pemerintah. Justeru, beliau menggunakan harta baitul mal untuk mengahwinkan pemuda-pemuda yang masih bujang pada zamannya. Dan ternyata strateginya itu strategi yang bijak. Pandangannya itu adalah pandangan yang jernih. Negara menjadi mantap dari segala aspek seperti, ketenteraan, ekonomi, perdangangan, pelajaran dan lain-lain lagi. Ini semua kerana, pemuda-pemuda itu tadi telah punya tujuan hidup yang jelas dan bersedia untuk menyumbang tenaga untuk agama dan negara tercinta.

Korang nampak ? Besar signifikannya perkara ini. Kita mungkin hanya lihat, perkahwinan itu boleh mencegah zina, isu-isu sosial seperti buang bayi, pergaulan bebas dan lain-lain lagi. Tetapi sebenarnya hikmah perkahwinan bagi seorang pemuda lebih dari itu. Ia boleh merubah struktur dan upaya masyarakat untuk menjadi masyarakat yang lebih baik lagi.

Kritikan

Institusi zakat

So, dalam hal ini, aku pun tak faham kenapa duit zakat di negara kita harus disimpan macam tu je. Seolah-olah pihak pentadbir zakat dan kerajaan negeri berbangga dengan duit zakat yang mampu dijimatkan hingga berjuta-juta ringgit saban tahun. Bukankah duit zakat itu seharusnya diuruskan dengan lebih baik. Ianya adalah amanah ! Bantulah orang-orang muda yang ingin dan sudah bersedia untuk berkahwin. Jangan kata tiada, ramai sahaja di luar itu yang ingin berkahwin. Cumanya mereka malu untuk meminta-minta. Jadi, cadangan aku, pihak agama Islam dan kerajaan negeri bolehlah memulakan langkah untuk mewujudkan satu skim bantuan untuk membantu golongan muda yang ingin berkahwin. Jika tidak biaya penuh, cukup sahaja sekadar separuh.

Bukan apa, aku lihat orang muda sekarang, memang cukup susah untuk berkahwin. Salah satu sebabnya ialah tiada dana. Zaman sekarang, tamat sahaja ijazah sarjana muda , umur sudah 24 tahun. Gaji pertama berapa senlah sangat. Jika hendak ditunggu sampai 50 ribu ringgit, berapa tahun tu ? Cuba bayangkan 4 tahun masa yang diambil untuk mengumpul wang sebanyak 50 ribu ringgit. Sepanjang 4 tahun itu, siapa boleh jamin dia boleh kekal dalam ketaatan dan tidak tunduk pada hawa nafsu ? Siapa ? Justeru, mudahkanlah urusan mereka.

Adat oh adat

Ha.. ini satu lagi penyebab. Adat oh adat. Oleh kerana ikutkan adat, kos perkahwinan yang pada mulanya itu boleh dikurangkan, tiba-tiba mendadak naik. Pelaminlah, nasi minyak lah, kompang lah, telur pindang lah. Pening hendak difikirkan. Maaflah kata, kadang kala, masyarakat kita lebih pentingkan adat daripada syariat agama. Sebagai contoh, syariat agama menyuruh supaya merendahkan mahar perkahwinan, tetapi disebabkan adat, mas kahwin sampai berpuluh-puluh ribu ringgit jadinya. Dalam hal ini, kita semua harus memainkan peranan supaya masyarakat, di mana satu adat dan di mana satu tuntutan syariat.

Kesimpulan

Kesimpulannya, tolonglah aku yang ingin berkahwin ini dan juga pemuda-pemuda di luar sana. Rasanya hati ini tidak tertahan lagi melihat perlakuan maksiat yang saban hari membanjiri masyarakat. Mulanya menonton video lucah, kemudiannya bercouple, kemudiannya berzina dan akhir sekali membuang anak. Jika yang baik sikit, berpuasa. Namun kadang kala mereka ini kalah, dan kadang kala mereka ini menang . Pertarungan melawan hawa nafsu ini seolah-olah pertarungan yang besar dalam diri anak muda. Justeru, tolonglah mereka untuk menjaga agama mereka !

Aku nak kahwin !

Wallahualam,

En. Marbawi,
EDITOR PENA ORANG MUDA